Kaji selidik milik bekas pimpinan Bersatu paparkan Muhyiddin paling popular

Satu kaji selidik yang dijalankan mendapati Muhyiddin Yassin memperolehi sokongan dua pertiga (67 peratus) daripada orang Melayu sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, kaji selidik yang sama mendapati hanya tujuh peratus orang Melayu menyokong parti pimpinan Muhyiddin, Bersatu.

Dapatan ini berdasarkan tinjauan suku tahunan yang dijalankan oleh Emir Research pada Ogos, melibatkan 2,064 responden yang dipilih menggunakan teknik pensampelan pelbagai peringkat dan kaji selidik secara berdepan, yang mewakili semua 222 kawasan parlimen.

Pilihan kedua paling popular di kalangan orang Melayu untuk jawatan perdana menteri ialah Dr Mahathir Mohamad (9 peratus) diikuti oleh Abdul Hadi Awang (8 peratus), Anwar Ibrahim (5 peratus) Mukhriz Mahathir (4 peratus) dan Ahmad Zahid Hamidi (3 peratus).

Bilangan keseluruhan pilihan yang diberikan untuk responden bagi soalan berkenaan tidak diketahui.

 

Separuh daripada responden Melayu dan India memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri pilihan, sementara sebilangan 94 peratus bumiputera dari Sabah dan Sarawak turut membuat pilihan sama.

Umno paling popular 

Dari segi parti pula, kaji selidik itu mendapati Umno ialah parti paling popular di kalangan orang Melayu (51 peratus) diikuti PAS (21 peratus), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang, 8 peratus), Bersatu (7 peratus) dan PKR (3 peratus).

Agihan sokongan orang Melayu terhadap Amanah, DAP, MCA, Gerakan, Parti Bumiputera Bersatu (PBB) dan Warisan pula masing-masing pada kadar 1 peratus.

Responden diminta memilih daripada 21 parti. Tiga peratus orang Melayu memilih “bebas” sebagai parti yang menjadi pilihan mereka.

Kaji selidik ini turut mendapati Umno menerima sokongan daripada 25 peratus responden Cina, 26 peratus responden India dan 24 peratus bumiputera Sabah dan Sarawak.

Secara keseluruhannya, daripada kaji selidik ini, Umno nampaknya merupakan parti paling popular di kalangan semua kumpulan etnik utama.

Parti kedua paling popular di kalangan responden Cina ialah DAP sementara PKR pula menjadi parti kedua paling popular di kalangan responden India.

Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Bersatu seri di tempat kedua di kalangan responden bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kaji selidik itu mencadangkan yang penyokong Umno datang daripada semua peringkat pendapatan manakala penyokong Bersatu pula cenderung daripada kumpulan berpendapatan lebih tinggi.

“Seperti yang dirumuskan oleh seorang peserta perbincangan: ‘Ramai orang kata kerajaan sekarang ini ialah kerajaan yang diperlukan, bukan kerajaan yang kamu mahu, bukan kerajaan yang kita pilih,” kata Emir Research.

Analisis tinjauan suku tahunan Emir Research mempunyai perbincangan kumpulan sasarannya tersendiri, membabitkan 63 peserta.

Emir Research enggan memberi Malaysiakini senarai penuh soalan yang diajukan kepada responden dalam komponen kuantitatif kaji selidik berkenaan.

Emir Research dimiliki oleh bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu Rais Husin yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) di situ.

Sumber: Malaysiakini