Kahwin 4 kali, cerai 3 kali, demi tuntut cuti

Kahwin 4 kali, cerai 3 kali, demi tuntut cuti

Seorang kerani bank di kota Taipei, Taiwan berkahwin dengan pasangan yang sama sebanyak empat kali dan bercerai tiga kali dalam tempoh 37 hari.

Memetik dari United Daily News dan Liberty Times, Taiwan English News melaporkan bahawa kerani tersebut melakukan hal demikian untuk menebus 32 hari cuti kahwin.

Menurut Lin, seorang peguam, bank tersebut disaman kerana hanya membayar lapan hari cuti dari perkahwinan pertama kerani itu.

Lin berkata, kerani itu mendaftarkan perkahwinannya pada 6 April 2020, dan mengambil cuti dari 7 hingga 16 April. Walau bagaimanapun, dia terus menceraikan pasangannya dan mendaftar perkahwinan lain bersama pasangan yang sama pada 17 April.

Selepas lapan hari bercuti, kerani tersebut kembali bercerai pada 28 April dan berkahwin semula keesokannya.

Perceraian ketiga didaftarkan pada 11 Mei, diikuti perkahwinan keempat bersama pasangan yang sama pada 12 Mei, lapor Taiwan English News.

Bank tempat kerani itu bekerja menyifatkan perbuatannya sebagai penyalahgunaan cuti kahwin dan hanya membayar lapan hari cuti kahwin pertamanya.

Menurut Taiwan English News, kerani tersebut kemudiannya memfailkan saman sebanyak NT$20,000 terhadap bank tempatnya bekerja di Jabatan Buruh Kota Taipei.

Bank tersebut mengemukakan rayuan melalui Jawatankuasa Rayuan, mendakwa perbuatan kerani itu tidak mematuhi akta perburuhan yang ditetapkan.

Pesuruhjaya yang menerima rayuan mendapati Jabatan Buruh tidak memastikan terlebih dahulu jika kerani tersebut betul-betul menyalahgunakan haknya. Jika perkara ini dipastikan, tuduhan perlu ditarik dan hanya boleh difailkan semula 60 hari kemudian.

“Walaupun perbuatan kerani bank itu dianggap tidak patut, tiada dalam Akta Perburuhan Standard yang mengatakan pekerja perlu berkahwin dengan pasangan berbeza untuk menebus cuti kahwin,” kata Huang Jingang, Pesuruhjaya di Jabatan Buruh.

Tambah portal itu, pihak pentadbiran hanya boleh menyiasat sekiranya kerani tersebut dan pasangannya berkahwin secara sukarela atau tidak.

Sekiranya keputusannya menepati peraturan yang ditetapkan, pihak bank harus meluluskan cuti. Jika sebaliknya, surat amaran bertulis boleh dikeluarkan dan pekerja boleh didakwa, tetapi cuti perlu diberikan terlebih dahulu, lapor Taiwan English News.

Sumber: Taiwan English News