Pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan GST masih dikaji sejak ia ditukarkan kepada cukai jualan dan perkhidmatan SST.

Baru-baru ni menerusi temubual bersama Nikkei Asia, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengatakan bahawa kerajaan tidak menolak untuk kembalikan semula GST bagi mengembangkan hasil kerajaan serta mengurangkan beban subsidi awam.

Memetik sumber Awani, hasrat itu sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Katanya, sistem pencukaian tersebut dilihat mampu membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

Beliau mengatakan kerajaan telah kehilangan RM20 bilion pendapatan tahunan selepas memansuhkan GST.

“Tiada negara dalam dunia ini yang kembali dari GST kepada SST, melainkan Malaysia.”

Tambahnya, sedar tentang persepsi negatif mengenai GST, tetapi kerajaan sudah tidak mempunyai banyak pilihan ketika ini.

Katanya lagi, kerajaan juga akan memastikan kadar GST yang akan diperkenalkan semula, tidak terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat.

Dilaporkan, Bank Negara Malaysia juga turut menyokong keputusan untuk mengembalikan GST ini kerana ini mampu untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Untuk rekod, GST diperkenalkan pada 1 April 2015 dengan kadar 6% sebelum dimansuhkan dan digantikan dengan SST yang diperkenalkan pada 1 September 2018. Selain Malaysia, lebih 160 buah negara luar turut melaksanakan GST dengan kadar cukai mengikut negara masing-masing.

Sumber: Awani