Jururawat meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, bayi kini masih di NICU

Seorang jururawat di Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (UITM) Sungai Buloh meninggal dunia awal pagi semalam dipercayai akibat komplikasi Covid-19

Artini Dzolkarnain yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Rehabilitasi menghembuskan nafas terakhir pukul 5.30 pagi semalam.

Allahyarham yang mengandung 30 minggu telah menjalani pembedahan untuk proses kelahiran anak kelima pada 21 Januari lalu.

Bayi tersebut kini ditempatkan di NICU hospital berkenaan.

Berita pemergian Artini dikongsi oleh warga Fakulti Perubatan UiTM menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Satu hantaran oleh sepupu Allahyarham memaklumkan bahawa Artini pada mulanya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 16 Januari lalu dan kesihatan beliau dilaporkan merosot menyebabkan pembedahan mengeluarkan bayi pramatang terpaksa dilakukan.

Sejak daripada tarikh tersebut beliau bergantung kepada alat bantuan pernafasan sehingga terpaksa dipindahkan ke Hospital UiTM kelmarin berikutan keadaannya yang semakin kritikal.

Laman Facebook turut dihujani ucapan takziah atas pemergian Allahyarham yang merupakan salah seorang petugas barisan hadapan yang menjadi korban Covid-19.  – MG