Jumpa ‘crush’ lama, Ashira akui bahagia terbuka hati untuk bercinta semula
Penyanyi Ashira belum memikirkan soal untuk kembali berumah tangga selepas rapat dengan kenalan lama bernama Fairul Ezuan.
Memetik laporan mStar Online, penyanyi berusia 37 tahun itu mengakui masih trauma bagi kembali bergelar isteri apatah lagi dua kali gagal dalam perkahwinan.
“Alhamdulillah… saya boleh katakan kami sedang berkawan dan dia adalah yang istimewa.
“Namun belum fikir lagi ke fasa seterusnya… biarlah kami berkawan dahulu. Saya pun sudah beritahu dia untuk tidak terlalu cepat merancang perkahwinan.
“Kegagalan dalam rumah tangga sebelum ini membuatkan saya masih trauma. Luka lama pun belum sembuh lagi!,” kata bintang program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu.
Sebelum itu, Ashira atau nama penuhnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz memuat naik sebuah posting di laman Instagram berkongsi cerita bagaimana dia bertemu semula dengan Ezuan.
“Kami sudah kenal lama… sejak saya zaman remaja lagi. Kemudian terpisah dan terus tidak berhubung. Kebetulan adik Ezuan adalah salah seorang anggota dalam band saya. Dari situ kami mula berhubung.
“Ketika pertama kali bertemu semula pada 30 Ogos lalu saya takut untuk menegurnya kerana dia hadir menyaksikan persembahan saya dengan seorang wanita. Rupa-rupanya wanita itu adalah isteri kepada adiknya.
“Mungkin Allah telah aturkan untuk kembali berjumpa dengan orang yang pernah saya sayang. Jujur rasa sayang itu masih ada. Sepanjang tempoh sebulan ini juga dia buat saya kembali gembira,” tulisnya.
Terdahulu, Ashira berkahwin dengan penyanyi Bad Indigo pada 11 Mac 2021 namun mengumumkan penceraian pada Jun lalu.
Ashira sebelum itu juga pernah berkahwin dan dikurniakan seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi yang kini berusia 16 tahun.
Sumber: mStar Online (Farol Hadi) , Instagram Ashira Aziz