Jual kad ATM, sembilan individu ditahan

Jual kad ATM, sembilan individu ditahan

Sembilan individu termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam penjualan kad ATM untuk digunakan sebagai mule account (akaun keldai) ditahan dalam dua siri serbuan di sebuah rumah sekitar Kampung Melayu Majidee, di sini, pada semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua suspek berumur antara 32 hingga 40 tahun.

Katanya, kesemuanya berperanan sebagai ejen penjualan kad ATM berkenaan.

“Mereka akan mendapat bayaran lebih kurang RM 600 untuk penjualan setiap kad ATM yang diperolehi.

“Kad ATM itu akan dijual semula kepada sindiket pelaburan dalam talian dengan harga kira-kira RM 1,600 hingga RM 1,900 bagi setiap kad ATM.

“Siasatan mendapati dua daripada sembilan orang suspek tiada mempunyai rekod jenayah. Tujuh lagi suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, hasil serbuan itu, polis turut merampas 19 kad ATM dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati di dalam menyerahkan kad ATM kepada individu yang tidak dikenali. Adalah menjadi suatu kesalahan menyerahkan kad ATM atas urusan penjualan dan juga untuk kegiatan jenayah kepada individu lain,” katanya.