Jeffrey Kitingan tegaskan mahu kesamarataan dalam PN


Bercakap dalam majlis himpunan Perikatan Nasional Sabah malam tadi, Jeffrey Kitingan menuntut supaya rakyat Sabah diberikan ‘keadilan’.

Katanya, partinya inginkan satu kerjasama yang sama rata dan dihormati dalam PN.

“Saya mahu luahkan apa yang saya dengar daripada rakyat dan rakyat ini inginkan keadilan, inginkan kesaksamaan dan inginkan penghormatan untuk wakil-wakil rakyat-rakyat di negeri Sabah ini.

“Saya percaya. Pertama kalinya saya percaya bahawa kepimpinan yang ada pada hari ini di Kuala Lumpur di peringkat nasional adalah kepimpinan yang adil dan menghormati hak-hak negeri Sabah.

“Sebab itu saya sokong PN dan kita sama-sama sokong PN,” katanya.

Jeffrey berkata dia percaya bahawa kerajaan PN telah membantu rakyat sepertimana yang dapat dilihat bagaimana negara menangani wabak Covid-19.

“Maka itu saya percaya, kerajaan yang ada di bawah ini akan disokong oleh rakyat dan akan menang pilihan raya (negeri Sabah) akan datang ini.

“Tapi dalam masa yang sama kita kena lihat. Kita mahu kerjasama sebagai rakan kongsi sama rata, hormat menghormati. Kita tak mahu dikuasai, dijajah.

“Kita percaya kerajaan yang sekarang ni bukan macam kerajaan yang sudah-sudah. Lupakanlah yang sudah-sudah. Sekarang kita dalam era baru, era Perikatan Nasional,” katanya.

Untuk rekod, PRN Sabah akan diadakan pada 26 September. Manakala penamaan calon 12 September.

Sumber : Malaysiakini