Jangan tangguh lagi peperiksaan SPM!

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan Februari ini diteruskan meskipun ada kebimbangan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya tidak mahu status cemerlang peperiksaan SPM terjejas kerana sijil berkenaan juga diiktiraf di banyak negara dan ia setaraf dengan Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) di United Kingdom.

“NUTP mengharapkan peperiksaan SPM dapat diteruskan untuk pelajar yang sepatutnya menduduki pada tahun 2020 itu supaya proses mereka memasuki fasa kerjaya dan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi berjalan lancar.

“Pelajar SPM yang memasuki umur 18 tahun ini juga sudah mampu berfikir secara matang dan sedar apa-apa yang berlaku akan menjejaskan peluang mereka melanjutkan pelajaran dan memasuki era kerjaya.

“Mereka senang diurus oleh guru untuk berhadapan dari sudut aspek pematuhan pencegahan Covid-19,” katanya pada sidang media di sini selepas pelancaran aplikasi MyNUTP di sini, hari ini.

Pada masa sama, Aminuddin berkata NUTP juga berpendirian akan menyokong apa jua keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) sama ada untuk menangguhkan pembukaan sesi persekolahan sekiranya kes Covid-19 terus meningkat dan membimbangkan.

“NUTP yakin dalam proses pembukaan sesi persekolahan pihak KPM akan membuat keputusan berasaskan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan analisis risiko semasa.

“Kami di pihak guru dalam keadaan apa sekalipun tetap bersedia menabur khidmat dan berharap aspek keselamatan dan kesihatan diberikan keutamaan dalam apa-apa hal berkaitan pembukaan sekolah,” katanya.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin semalam dilaporkan berkata KPM perlu menunggu pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata aplikasi MyNUTP akan memudahkan ribuan ahlinya melaksanakan proses perkhidmatan secara dalam talian dengan lebih mudah dan ringkas termasuk berkenaan mendapatkan penyata ahli, maklumat pertukaran tempat bertugas dan tuntutan kebajikan bagi pasangan dan anak.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/662482/peperiksaan-spm-tidak-boleh-ditangguhkan-lagi-nutp?fbclid=IwAR1_qadnVT2-JPUsOeljaR9bKkD-etB7MGKiPXMfMZZeBcYdVwnEQ87lWAU