Jangan tak tahu, 6 benda ni dikatakan ‘lebih kotor’ dari tandas, termasuklah ‘handphone’ anda

Jangan tak tahu, 6 benda ni dikatakan ‘lebih kotor’ dari tandas, termasuklah ‘handphone’ anda

Di mana sahaja kita berada, pastinya kita tidak akan terlepas daripada kuman dan bakteria kerana ia ada di sekeliling kita.

Jika kebersihan tidak dijaga, kita akan mudah dijangkiti olehnya walaupun kita hanya berada di rumah.

Siapa sangka, sebenarnya banyak peralatan di rumah kita yang didiami oleh sejumlah kuman dan bakteria yang banyak selain di dalam tandas.

Menurut portal Kompas.com, benda-benda tersebut sering kita gunakan dalam kehidupan seharian tetapi jarang dibersihkan. Ini boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan kita.

Antara benda yang disenaraikan ialah:

1.Telefon bimbit

Ada orang yang tidak lekang memegang peralatan elektronik ini di tangan, malah sampai di bawa ke dalam tandas. Perbuatan ini sangat berbahaya kerana kuman dan bakteria akan melekat di skrin atau sekitar telefon bimbit tersebut. Jadi, bersihkan skrin selalu dan tidak lupa pada aksesori telefon yang lain juga, ya.

2.Laptop dan remote TV

Penggunaan laptop di rumah adalah tinggi memandangkan kita Bekerja Di Rumah (BDR) dalam keadaan pandemik sekarang. Apabila kita tidak mencuci tangan terlebih dahulu sebelum memegang laptop terutamanya ‘keyboard‘, kuman dan bakteria akan mudah terkumpul di situ.

Begitu juga dengan remote TV yang kerap kali disentuh oleh ahli rumah. Maka, sediakan kain pembasmi kuman khas untuk mencuci peralatan elektronik di rumah. Bersihkan secara harian dan menyeluruh terutamanya apabila ada ahli rumah yang terkena jangkitan virus seperti batuk dan selesema.

3.Tombol pintu bilik air

Semua tombol pintu di rumah pasti akan mudah dihinggapi kuman dan bakteria terutamanya di bilik air. Ini kerana di situlah tangan manusia akan kerap menyentuhnya. Jadi, apa yang perlu dibuat ialah lapkan tombol pintu di rumah anda secara rutin bagi mengelakkan diri dijangkiti olehnya secara mudah.

4.Span pencuci pinggan

Pernah atau tidak, anda terbau yang tidak menyenangkan pada span pencuci pinggan? Menurut sumber, bau itu adalah daripada bakteria coliform yang bersembunyi di dalam pori-pori span tersebut. Span ini harus dibersihkan dengan menggunakan pembasmi kuman dan air yang mendidih. Namun, cara terbaik adalah dengan menggantikannya beberapa minggu sekali.

5.Beg beli belah

Biasanya kita akan menggunakan beg beli belah setiap kali ‘shopping’ di pasar raya, bukan? Namun, setiap kali kita masukkan bungkusan barang di dalam beg seperti bungkusan daging yang bocor dan produk yang tidak dicuci, tanpa kita sedar kuman dan bakteria juga akan ada. Malah, jika disimpan di dalam kereta yang berbahang di dalamnya, ia akan mendorong pembiakan bakteria. Maka, setiap kali selesai menggunakannya, kosongkan barang dan cuci beg tersebut.

6.Papan pemotong

Bakteria yang dibawa oleh makanan di dapur adalah penyebab dari banyak penyakit yang muncul di dalam rumah. Pencemaran daripada makanan mentah, makanan yang tidak dikendalikan dengan baik, produk yang tidak dicuci dan suhu makanan yang tidak betul adalah tempat pembiakan bakteria.

Papan pemotong yang diperbuat daripada kayu merupakan penyebab terburuk kerana bakteria boleh mendiami kawasan permukaan yang terbuka akibat torehan pisau. Jadi, papan pemotong ini perlu dicuci dengan air sabun yang panas setelah digunakan. Malah, kita harus pastikan potongan daging dan sayur-sayuran adalah di papan pemotong yang berbeza.

Jadi, jagalah kebersihan barang-barang di sekeliling kita supaya kita selamat daripada dijangkiti sebarang penyakit.

Sumber: Kompas.com