“Jangan sebar!”, KKMM pandang serius penyebaran gambar, video bunuh diri

“Jangan sebar!”, KKMM pandang serius penyebaran gambar, video bunuh diri

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa memantau sekiranya terdapat penularan aktiviti sedemikian.

“Kita pandang serius kepada mereka yang tular video atau gambar bunuh diri, kerana ia menyebabkan kebimbangan sekiranya berlaku tindakan meniru aksi berkenaan atau ‘copycat suicide’.

“Sekiranya terdapat penularan aktiviti sedemikian, KKMM akan memberitahu polis mengenai hal berkenaan dan kami meminta supaya status yang dimuatnaik itu diturunkan dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelan Komunikasi Sokongan Kesihatan Mental secara maya hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil kepada individu yang didapati memuatnaik status sedemikian, Saifuddin berkata, hal itu di bawah tanggungjawab PDRM.

“Kami tiada maklumat sehingga kini berapa ramai individu yang sudah diambil tindakan, namun KKMM akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan PDRM bagi membendung isu ini.

“Tapi saya tahu, pihak polis akan siasat serta ada pertuduhan. Ini adalah operasi standard yang akan diadakan, ada laporan mengenainya, polis akan siasat dan kes itu akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk didakwa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya menggariskan beberapa pendekatan sebelum mengesan video atau gambar bunuh diri.

“Antaranya jika kandungan berkenaan dimuatnaik di platform media sosial seperti Facebook, pihaknya akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada pengendali laman sesawang itu.

“Contohnya Facebook, pengendali laman sesawang berkenaan bukan di Malaysia dan kita terpaksa membuat laporan terlebih dulu mengenai kandungan yang dimuatnaik supaya tindakan menurunkan status itu dilakukan oleh pihak pengendali.

“Namun jika kandungan yang dipaparkan dalam URL di Malaysia, SKMM akan menurunkan status itu berasaskan kod kandungan yang tidak dibenarkan sebelum kita laporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk respon teknikal,” katanya.