Jangan bertanding di Sarawak! Gesa GPS kepada Pas dan Bersatu

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kenyataannya sebelum ini bahawa PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak wajar bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi mengelakkan perebutan kerusi dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata sebagai rakan kongsi dalam satu pergerakan politik, semua parti dalam kerajaan sepatutnya menyokong antara satu sama lain dan tidak berlawan sesama sendiri.

“Contohnya, Umno dulu tak pernah bertanding di Sarawak. Oleh kerana kita mempunyai budaya sedemikian, saya hanya menyebut budaya itu secara realiti.

“Jadi adalah elok kalau PAS dan Bersatu tak bertanding di Sarawak supaya perhubungan kita bukan sahaja di peringkat pusat tetapi di negeri dalam keadaan lebih intim dan saksama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Bhd, di Putrajaya hari ini.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata pemimpin PAS dan Bersatu juga pernah menyatakan kepadanya secara peribadi bahawa kedua-dua parti berkenaan tidak akan bertanding di Sarawak.

Ditanya mengenai kenyataan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee yang meminta GPS memberi beberapa kerusi kepada PAS sebagai tanda kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau berkata tiada siapa dihalang untuk bertanding kerana Malaysia adalah negara demokrasi.

Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata PAS dan Bersatu tidak wajar bertanding pada PRN Sarawak akan datang demi menghormati kerjasama di peringkat persekutuan, namun Jofri berkata peluang yang saksama sepatutnya diberikan kepada calon PAS.

GPS merupakan gabungan empat parti iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan selepas PRN ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016.

– Bernama