Janda bagi alasan jaga kawan lelaki demam ditangkap khalwat

Seorang wanita memberi alasan mahu menjaga rakan lelakinya yang demam, ketika diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) kerana disyaki berlakunya maksiat.

Dalam serbuan jam 11.40 malam tadi, lelaki berusia 29 tahun itu bukan beragama Islam ditemui berada dalam rumah wanita berusia 31 tahun di Taman Wira Mergong, di sini.

Ketika serbuan dilakukan, seorang kanak-kanak berusia lima tahun dipercayai anak wanita itu yang juga berstatus janda turut berada dalam rumah berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, serbuan dilakukan anggotanya yang diketuai Nasir Mat Dali itu berdasarkan maklumat awam yang diperoleh.

Beliau berkata, ketika disoal, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan wanita itu ditahan kerana disyaki berkhalwat.

“Lelaki itu bagaimanapun tidak ditahan kerana bukan Islam dan hanya diambil keterangan.

“Wanita itu yang berniaga secara dalam talian ditahan kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, laporan polis turut dilakukan untuk memaklumkan laporan tangkapan berhubung kes berkenaan. – BH