Jabatan penjara Malaysia nafi Najib diberi layanan VIP di Kajang
JABATAN Penjara menafikan khabar angin mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima layanan istimewa di Penjara Kajang.
Jabatan itu menerusi posting di Facebook pada Rabu, berkongsi foto yang tular kononnya menunjukkan sel bagi golongan VIP, dilengkapi kemudahan televisyen, rak, katil dan meja.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara meminta supaya penyebaran maklumat palsu berhubung kemudahan penjara untuk golongan VIP dihentikan.
“Hentikan penyebaran maklumat palsu,” menurut Jabatan Penjara merujuk kepada foto yang tular.
Terdahulu, terdapat dakwaan bahawa sel bagi golongan VIP diberikan juga kemudahan internet dan penyaman udara.
Komen di media sosial mengenai sel layanan VIP susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Susulan itu, Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman tersebut.