Isu Arak Timah: Hormat sensitiviti umat Islam – Pejabat Mufti WP

Isu Arak Timah: Hormat sensitiviti umat Islam – Pejabat Mufti WP

Baru-baru ini timbul isu mengenai pengeluaran produk baharu arak jenama tempatan yang menggunakan istilah ‘Timah’ sebagai jenamanya.

Bagaimanapun, kewujudannya dikatakan menimbulkan pelbagai persoalan daripada sesetengah pihak. Susulan isu ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan Bayan Linnas Siri Ke-244: Jenama Arak: Hormati Sensitiviti Muslim seperti di bawah:

Bayan Linnas Siri ke-244: Jenama arak: hormati sensitiviti Muslim

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pengeluaran produk baharu arak jenama tempatan yang dikeluarkan oleh Winepak Corporation dan telah dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober 2021. Apa yang lebih mengejutkan, arak tersebut menggunapakai jenama ‘Timah’ dan berlatarbelakangkan gambar seorang lelaki yang berjanggut serta memakai penutup kepala persis seorang Muslim.

Hal ini telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam kerana ia dilihat seolah-olah satu tindakan biadap dan tidak menjaga sensitiviti orang Islam dalam negara ini, yang merupakan penduduk majoriti. Selain itu, perbuatan tersebut juga menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersembunyi seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim.

Walau bagaimanapun, dalam kenyataan rasmi mereka pada 15 Oktober 2021, syarikat tersebut menafikan segala dakwaan dan menjelaskan bahawa nama ‘Timah’ yang terdapat pada label botol merujuk kepada bijih timah pada era pelombongan bijih timah semasa pemerintahan British di Malaya suatu masa dahulu.

 

Manakala gambar lelaki itu pula adalah salah seorang individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British, iaitu Kapten Speedy. Kemudian, syarikat itu menegaskan lagi sebarang pentafsiran nama yang tidak ada kaitan dengan pelombongan bijih timah Malaysia adalah palsu.[1]

Isu ini perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak berwajib dan semua pihak kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini. Bagi umat Islam pengharaman arak adalah adalah satu prinsip yang jelas dan apa-apa yang ada kaitan dengannya adalah wajib dijauhi.

Dalam Islam, arak dan segala minuman yang memabukkan adalah najis dan hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah ialah perbuatan yang keji daripada amalan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Dalam ayat di atas, perkataan rijsun “رِجْسٌ” dari segi bahasa bermaksud kotor dan najis.[2] Selain itu, dalam ayat berkenaan juga, penggunaan lafaz al-Ijtinab “الاجتناب” (yakni menjauhi arak) menunjukkan bahawa tegahan dan pengharamannya adalah lebih kuat dan menyeluruh berbanding penggunaan lafaz tahrim al-Syurb “تَحْرِيمُ الشُرْبِ” (yakni tegahan meminum arak) semata-mata kerana tegahan meminumnya sahaja tidak merangkumi tegahan lain yang berkaitan dengannya seperti membeli arak, menjualnya dan lain-lain.

Manakala perintah menjauhinya pula merangkumi setiap sudut perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan lain-lain urusan yang berkaitan dengannya.[3] Tambahan lagi, ia menunjukkan celaan Allah SWT terhadap semua perkara buruk yang dinyatakan dalam ayat di atas dengan menyatakan bahawa ia termasuk dalam amalan syaitan dan merupakan perbuatan yang keji.

Sehubungan dengan itu, kita diperintahkan untuk meninggalkan semua perkara tersebut kerana kejayaan (di dunia dan akhirat) tidak akan dapat dicapai melainkan dengan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, khususnya perkara-perkara keji yang disebutkan dalam ayat di atas.[4]

Bukan itu sahaja, malah terdapat sebuah hadis yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لعَنَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم في الخمرِ عشرةً: عاصرَها ومُعتصرها وشاربَها، وحاملَها والمحمولةُ إليهِ وساقيها وبائعُها، وآكلُ ثمنِها، والمشترِي لها والمشترَي له

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi, 1295)

Manakala tindakan menggunapakai nama ‘Timah’ sebagai jenama arak adalah tidak wajar dan boleh dianggap sebagai satu tindakan yang mencabar sensitiviti umat Islam. Hal ini kerana, penggunaan nama tersebut boleh menimbulkan pelbagai konotasi yang tidak baik, khususnya dalam konteks negara kita, yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Lebih-lebih lagi, nama ‘Timah’ itu juga sudah sinonim dalam masyarakat Melayu. Malah, tindakan memilih dan menggunakan gambar Kapten Speedy yang memakai penutup kepala juga, dilihat seolah-olah menjadi tanda dan isyarat bahawa produk ini keluaran Melayu Muslim sedangkan arak merupakan satu perkara yang sangat ditegah dalam Islam.

Sebarang isu sensitiviti agama dan kaum haruslah dijauhkan kerana ia boleh menjurus berlakunya kemudaratan, sedangkan sebarang kemudaratan mestilah ditegah apatah lagi yang melibatkan perkara yang sensitif. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang menyebut:

الضَّرَرُ يُدْفَعُ بِقَدَرِ الإِمْكَانِ

Maksudnya: Kemudaratan itu hendaklah dicegah semampu yang mungkin.[5]

Meskipun sebahagian pihak akan mengemukakan pelbagai alasan untuk membenarkan jenama arak ini, namun syarak menegaskan bahawa segala perkara yang mempunyai unsur kemudaratan hendaklah dicegah semampu yang boleh, lebih-lebih lagi umat Islam merupakan penduduk majoriti di negara ini.

Penolakan ini juga berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai‘ yakni menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan. Hal ini kerana, kami melihat perkara ini sekiranya dibiarkan dan dibuka seluasnya, dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan bahawa seolah-olah budaya arak merupakan budaya masyarakat Melayu Islam atau budaya yang dekat dan diterima dalam kalangan masyarakat Muslim, seterusnya mengganggu-gugat keharmonian masyarakat Islam dalam negara Malaysia.

Sehubungan dengan itu, tindakan dan langkah proaktif pihak kerajaan dan juga pemerintah amat perlu dalam menyelesaikan isu ini, dengan memastikan kemaslahatan rakyat terjaga dan juga kemudaratan ke atas rakyat turut terhindar. Kaedah fiqh ada menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahat rakyat.”[6]

Dalam hal ini, maslahat atau kebaikan menjaga keharmonian negara dalam kalangan masyarakat daripada timbulnya huru-hara, kekacauan dan seumpamanya dengan melarang penggunaan jenama yang sensitif ini adalah lebih besar berbanding membiarkannya, di samping dapat meminimumkan mafsadah yang mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat akibat daripada arak tersebut. Maka, tindakan tegas daripada pihak berwajib amat perlu dalam menangani permasalahan ini.

Kesimpulan

Penggunaan jenama arak dengan perkataan bahasa Melayu seperti ‘Timah’ ini amatlah tidak wajar sama sekali. Ia mesti ditarik dan diubah serta-merta, di samping gambar yang digunakan juga hendaklah tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti, demi keharmonian negara.

Adalah dinasihatkan pihak-pihak berkaitan agar lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu sebegini yang berpotensi mengancam perpaduan dan keamanan masyarakat berbilang kaum. Memelihara kerukunan masyarakat dan tidak melanggar batas-batas yang boleh mengancam kestabilan hidup dan menggugat keharmonian umat Islam adalah menjadi teras kestabilan negara ini.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan