Isu 3R, penguatkuasaan kesalahan Bahasa Melayu dijangka jadi perhatian Ahli Parlimen

Isu 3R, penguatkuasaan kesalahan Bahasa Melayu dijangka jadi perhatian Ahli Parlimen

Isu berkenaan agama, raja dan kaum (3R) antara yang dijangka mendapat perhatian apabila dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat, perkara itu akan dibangkitkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh-PN) pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Muhyiddin meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan pendirian kerajaan berhubung isu 3R serta asas perundangan diguna pakai melarang rakyat Malaysia menyentuh perkara itu.

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut-PN) pula akan bertanyakan tentang hasil siasatan isu 3R membabitkan pemimpin DAP, Lim Guan Eng dan Tan Sri Lim Kit Siang,

Turut dijangka mendapat perhatian soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN) berkenaan penguatkuasaan kesalahan Bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau mahu tahu sama ada kerajaan akan meminda Akta DBP bagi memberi kuasa penguatkuasaan kepada DBP dan tindakan kerajaan untuk mengantarabangsakan Bahasa Melayu.

Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau-PH) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan komitmen terkini kerajaan untuk mengawal kadar pertukaran wang asing.

Soalan mengenai perancangan kerajaan mengetengahkan literasi politik dan kenegaraan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah pula akan dibangkitkan oleh Azli Yusof (Shah Alam-PH).

Turut dijangka mendapat perhatian soalan Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan-PN) berhubung perkhidmatan ‘inflight catering’ oleh Malaysia Airlines (MAS).

Beliau bertanyakan tentang penumpang kelas ekonomi dan perniagaan hanya diberi buah, kek dan minuman kotak, malah penumpang dinasihatkan membawa makanan sendiri.