Istri dah ‘tergantung’, anak dah tak bernyawa, jumpa nota terakhir

Seorang wanita yang juga bergelar ibu tergamak membunuh dua orang anak kandungnya yang baru berusia dua dan empat tahun sebelum dia bertindak membunuh diri. Lebih meruntun hati apabila mengetahui mayat wanita dan anak-anaknya itu telah ditemui oleh suaminya sendiri di rumah.

Ibu bunuh dua anak

Berdasarkan laporan yang dipetik daripada CNN Indonesia, seorang wanita yang dikenali dengan nama Dina Rosdiana berusia 31 tahun telah membunuh dua orang anak kandungnya dengan cara menekup mulut menyebabkan kedua-dua mangsa lemas dan tidak bernafas. Selepas mangsa yang berusia empat, Yumma Tamimatujinan dan dua tahun, Abqori Abrurahman itu sudah tidak bernyawa, ibu kepada dua anak ini kemudian mengakhiri hidupnya dengan menggantung diri.

Menurut sumber, mayat ketiga-tiga beranak ini ditemui di kediaman mereka yang terletak di Bandung Barat, Indonesia oleh si suami, Asep Burhanudin. Difahamkan, ketika kejadian, Asep tiada di rumah kerana mempunyai urusan kerja di luar. Bercerita dengan lebih lanjut, Asep memaklumkan selepas selesai kerja, dia telah pulang ke rumah.

Pada awalnya, dia mendapati pintu di rumahnya berkunci dan dia berkali-kali cuba memanggil isterinya itu tetapi tiada sebarang jawapan yang diterima. Risau sesuatu perkara buruk berlaku, Asep bertindak memecahkan pintu rumah tersebut dan alangkah terkejutnya apabila melihat isterinya sudah ‘tergantung’di tiang pintu bilik manakala dua anaknya terbaring tidak bernyawa.

Jumpa nota ‘terakhir’

Susulan daripada insiden itu, Asep telah melaporkan kepada pihak polis. Hasil pemeriksaan, pihak polis berjaya menemui selendang yang digunakan oleh Dina untuk menggantung diri dan sisa makanan dua kanak-kanak malang itu. Tetapi apa yang lebih mengejutkan apabila pihak polis turut menemui catatan yang terkandung luahan hati ibu kepada dua anak ini.

Dalam catatan tersebut, Dina tidak mampu meneruskan hidup kerana memiliki bebanan hutang. Menurut sumber, beberapa hari sebelum kejadian, Dina dan Asep telah bertengkar selepas suaminya itu mengetahui tentang hutang tersebut.

Malah, ada juga dakwaan mengatakan salah satu punca Dina bertindak sedemikian adalah kerana mempunyai masalah rumah tangga. Sementara itu, pihak polis memaklumkan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan mereka masih menunggu hasil bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dua orang kanak-kanak terbabit.

Sumber: CNN IndonesiaDetik News