Isteri jatuh tergelincir, lelaki berang, nekad pecahkan laluan pejalan kaki

Isteri jatuh tergelincir, lelaki berang, nekad pecahkan laluan pejalan kaki

Baru-baru ini tular di Indonesia mengenai satu video yang memaparkan seorang lelaki yang sedang menghancurkan laluan pejalan kaki dengan menggunakan tukul.

Bagaimanapun, tindakannya itu telah mendapat sokongan netizen di sana kerana dia dipercayai berang selepas isterinya terjatuh di jalan itu.

Menerusi video tersebut, lelaki itu dilihat menghancurkan laluan tersebut sambil disaksikan oleh orang ramai yang lalu lalang di situ.

Menurut Kompas.com, laluan pejalan kaki yang baru dibina itu juga sebenarnya menjadi ‘buah mulut’ masyarakat di kawasan Pohon Pule, Kecamatan Sirimau, Ambon kerana keadaan permukaannya yang sangat licin.

Difahamkan, beberapa orang penduduk pernah terjatuh di jalan itu sehingga terluka. Malah, Timbalan Ketua DPRD Kota Ambon juga dilaporkan pernah menjadi mangsa jalan licin tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan Pohon Pule, Rudi, mengesahkan kejadian di dalam video itu dan mengatakan ia berlaku di depan sebuah pasar mini di Jalan Dr Soetomo, Kecamatan Nusaniwe.

“Itu kejadian tadi pagi (semalam), saya tadi melalui jalan itu ketika kejadian berlaku.

“Dia marah kerana  isterinya jatuh ketika berjalan di atas laluan itu,” kata Rudi.