Isteri Fizo Omar selamat bersalin anak perempuan

Isteri Fizo Omar selamat bersalin anak perempuan

 

 

 

 

“Keadaan ibu (isteri) selamat dan bayi comel.”

Itu luahan gembira pelakon Fizo Omar berkongsi berita gembira selepas isterinya, Fazeera Nazri selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka di sebuah pusat perubatan swasta di Selangor awal pagi tadi.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Fizo atau nama lengkapnya Wan Hafizol Wan Omar, 36, menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.

Kelahiran anak pertama Fizi dan Fazeera sekali gus menjadikan Fizo bapa kepada dua orang puteri, puteri nombor satu, Maryam lahir menerusi perkahwinan terdahulu.

“Alhamdulillah. Satu lagi hadiah yang indah dikurniakan oleh Allah SWT. Isteri saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin.

“Ibu dan bayi sekarang berada dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Fizo turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak hospital kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada isterinya sepanjang tempoh kehamilan sehinggalah bersalin.

“Terima kasih juga atas doa semua untuk isteri dan bayi saya,” ujarnya.

Dalam ruangan komen, pelakon drama Pengantin Satu Malam itu dihujani dengan ucapan tahniah dan syukur daripada rakan-rakan artis dan juga peminatnya.

“Tahniah abang Jo,” kata pelakon Datin Almy Nadia.

“Alhamdulillah. Tahniah,” ucap pelakon Mona Allen yang juga kini sedang hamil tujuh bulan.

Sekadar info, Fizo dan Fazeera berkahwin pada 21 Oktober 2021 dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Janda Baik, Pahang.

Fizo sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mawar Karim namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 10 Julai 2019.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia lima tahun.

COMMENTS