Insident tampar Chris Rock, Will Smith bakal dihukum Akademi

Insident tampar Chris Rock, Will Smith bakal dihukum Akademi

LOS ANGELES: Penganjur Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94 menyelar tindakan pelakon dan penerbit, Will Smith yang melempang Chris Rock dan akan mengkaji secara formal insiden itu yang didakwa mencemarkan acara berkenaan.

Pada majlis itu, Smith dilihat berjalan menuju ke atas pentas sebelum bertindak melempang Rock selepas pelakon dan pelawak popular itu mempersendakan isteri pelakon terbabit.

Insiden berkenaan berlaku kurang sejam sebelum Smith menerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik bagi peranannya dalam filem King Richard.

Lebih 9,900 ahli Akademi Seni Filem dan Sains dalam kenyataan mereka, dilaporkan menyelar tindakan Smith pada acara malam kelmarin.

“Kami sudah memulakan ulasan formal membabitkan insiden itu dan mengkaji langkah serta tindakan lanjut yang akan diambil mengikut undang-undang kecil, Piawaian Kelakuan dan Undang-undang California,” kata kenyataan itu.

Polisi piawaian kelakuan anugerah itu menyatakan, ia menentang sebarang bentuk penderaan, gangguan dan diskriminasi serta menghendaki ahli untuk mengangkat nilai yang menghormati maruah sesama insan, keterangkuman dan menyokong persekitaran yang memupuk kreativiti.

Perlanggaran polisi itu berkemungkinan menyebabkan penggantungan atau penyingkiran daripada kumpulan, penarikan balik Oscar atau kehilangan kelayakan untuk anugerah pada masa depan.

Ketika menerima trofi bagi Pelakon Lelaki Terbaik, Smith membuat permohonan maaf kepada akademi dan calon lain serta berharap akan dijemput semula ke Anugerah Oscars.

Bagaimanapun, pelakon itu tidak membuat permohonan maaf kepada Rock.

Walaupun jarang dilaksanakan, namun akademi itu pernah menarik balik keahliannya.

Pada 2017, produser Harvey Weinstein dibuang selepas puluhan wanita mendakwa beliau atas tuduhan serangan seksual, manakala Bill Cosby dan Roman Polanski dibuang pada 2018 . – REUTERS