Pasang Bendera secara terbalik di Balai Polis yang tular di media sosial adalah tidak disengajakan
Insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Balai Polis Simpang Lima di Parit Buntar semalam yang tular di media sosial, adalah tidak disengajakan.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata bendera itu dipasang oleh seorang anggota lelaki pada kira-kira pukul 6 pagi sebelum tamat tugas dan disedari oleh orang awam kira-kira sejam kemudian.
Beliau berkata selepas dimaklumkan oleh rakan setugas mengenai kesilapan itu, anggota berkenaan kembali ke balai dan membetulkan posisi bendera berkenaan.
Mazuki berkata Ketua Polis Balai Simpang Lima telah membuat laporan berhubung kejadian petang semalam itu dan meminta orang ramai supaya tidak lagi menularkan gambar tersebut.
“Kami telah mengambil keterangan anggota berkenaan dan menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963,” katanya.
Sumber : Bernama