Ini penjelasan Fedtri Yahya tentang lirik lagu sesuci lebaran dikatakan hina golongn miskin
Baru-baru ini kecoh di ruangan media sosial Twitter mengenai tindakan seorang TikToker yang telah mendakwa lirik lagu Sesuci Lebaran dendangan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai toksik kerana menghina golongan miskin.
Video yang tular itu memaparkan seorang TikToker yang berkongsi bahagian dimana Siti menyanyikan bait lirik ‘Bantulah miskin, hina’.
Di hantaran yang sama, Tiktoker itu turut menulis: “Hina ke jadi miskin?”
Tak ada angin, tak ada ribut, isu yang dibangkitkan itu telah mencetuskan amarah netizen yang berang dengan dakwaan tersebut serta menganggap individu berkenaan tidak mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang tinggi.
Susulan itu, pengacara dan personaliti terkenal, Ahmad Fedtri Yahya tampil menjelaskan lirik miskin hina iaitu tidak bermaksud kita menghina orang miskin tetapi menurutnya ia hanya perkataan menunjukkan miskin itu taraf lebih rendah dari kaya.
“Bukan kutuk hina insult tapi menunjukkan merendah diri status sosialnya.
“Dalam doakan pun kita digalakkan menghina diri kepada Allah, merendah diri untuk sesuatu yang baik.
“Kita letak dirikan taraf yang bawah di atas Allah yang berkuasa. Kena banyakkan membacac bahasa Melayu ni banyak maksud, banyak kiasan,” ujarnya.
@fedtriyahya Miskin hina hanyalah kiasan saja. Kena banyak membaca 😀 #sesucilebaran
Sementara itu ada juga beberapa video yang membidas kenyataan individu berkenaan turut memberikan ‘tazkirah’ percuma dan menjelaskan maksud lirik itu kepadanya.
Antaranya adalah seorang individu yang juga turut tular di platform TikTok.
Menurut individu berkenaan, dia tidak boleh mendiamkan diri jika bahasa dipermainkan.
“Dalam puisi ke dalam lirik lagu selalunya tak guna perkataan sepenuhnya.
“Macam juga miskin hina, dalam mesti ada perkataan ‘dan’ ditengahnya, miskin dan hina.
“Tapi dalam lagu dia buang ‘dan’ untuk sedapkan. Tak salah, janji lagu itu dihidangkan untuk berakal, boleh kenal pasti ada perbezaan entiti.
“Kalau abang boleh kenal pasti baris lirik atas dua entiti tua muda, kenapa tak kenal baris bawah?” jelasnya.