Ini cara senang faham ‘defisit’ dan ‘hutang terkumpul’ kerajaan dalam bahasa mudah
Dalam berita ekonomi, kita sering dengar tentang “defisit” dan “hutang terkumpul” kerajaan, tapi apa maksud perkataan ini?
Kedua-dua terma ini nampak rumit, tetapi sebenarnya, jika kita faham konsep asas, ia tidaklah sesusah yang disangka.
Baru-baru ini, pemiliki akaun @Nazrihamdan ada kupas isu ini dalam bahasa yang sangat mudah faham.
Berikut adalah penjelasan beliau.
Apa itu Defisit?
Defisit berlaku apabila perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatan.
Bayangkan seorang individu bernama Ali, seorang usahawan yang berpendapatan RM10,000 sebulan.
Malangnya, Ali suka berbelanja melebihi pendapatan, dengan membelanjakan RM11,000 setiap bulan.
Ini bermakna Ali berhutang RM1,000 setiap bulan. Inilah defisit – perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan.
Hutang Terkumpul
Hutang terkumpul adalah jumlah keseluruhan hutang yang terkumpul dari masa ke masa.
Dalam kes Ali, jika dia terus berbelanja lebih dari pendapatan setiap bulan, hutangnya akan terus meningkat.
Selepas setahun, dengan defisit RM1,000 sebulan, hutang terkumpul Ali akan menjadi RM12,000.
Ini belum termasuk faedah yang dikenakan ke atas hutang tersebut.
Kenapa Defisit Lebih Penting Daripada Hutang Terkumpul?
Kerajaan Malaysia kini sedang fokus untuk menurunkan defisit.
Mengapa? Kerana defisit adalah kunci kepada pengurusan hutang yang lebih baik.
Sama seperti Ali yang mula mengurangkan perbelanjaannya untuk menurunkan defisit bulanan dari RM1,000 kepada RM500, kemudian kepada RM300, kerajaan juga berusaha mengawal perbelanjaannya.
Walaupun hutang terkumpul mungkin terus meningkat, kenaikannya akan menjadi lebih perlahan apabila defisit berjaya dikawal.
Mengapa Pelabur Yakin dengan Usaha Mengurangkan Defisit?
Apabila Ali berjaya menunjukkan perubahan dalam cara dia menguruskan kewangannya, kawannya Roslan mula yakin dan memberinya pinjaman untuk melabur dalam perniagaan.
Begitu juga, apabila kerajaan berjaya menurunkan defisit, ia menunjukkan disiplin dalam pengurusan kewangan, meningkatkan keyakinan pelabur.
Keyakinan ini penting kerana ia boleh membawa lebih banyak pelaburan ke dalam negara, yang seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi.
Pandemik COVID-19 dan Kesan Terhadap Defisit
Semasa pandemik COVID-19, defisit negara meningkat melebihi 6 peratus kerana perbelanjaan tambahan untuk menyokong ekonomi dan rakyat.
Namun, keadaan ini tidak boleh berterusan.
Kini, kerajaan berusaha untuk menurunkan defisit ini bagi mengembalikan keyakinan pelabur dan memastikan hutang terkumpul tidak menjadi beban yang tidak mampu ditanggung pada masa hadapan.
Dalam ekonomi negara, mengurus defisit adalah langkah pertama untuk mengawal hutang terkumpul.
Sama seperti Ali yang perlu mengawal perbelanjaannya untuk mengurus hutangnya, kerajaan juga perlu memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.
Dengan langkah ini, walaupun hutang terkumpul mungkin meningkat, ia boleh diuruskan dengan lebih baik, dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara akan meningkat.