Individu meroyan, gagal pujuk staf PPV untuk dapatkan sijil vaksin palsu
Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kelonggaran bagi individu yang sudah lengkap mengambil dos suntikan.
Salah satunya ialah kebenaran dalam merentas daerah atau negeri bagi pulang ke rumah bagi bertemu dengan pasangan masing-masing.
Bagi individu yang berada di negeri Fasa 2, mereka dibenarkan untuk merentas daerah selepas mereka menunjukkan sijil digital suntikan semasa sekatan jalan raya.
Ia sedikit sebanyak menyukarkan golongan yang menolak untuk mendapatkan suntikan bagi merasai kelonggaran yang diumumkan itu.
Individu pujuk staf PPV
Perkara sama turut terjadi apabila seorang staf PPV telah berkongsikan sebuah hantaran mengenai cubaan seorang individu yang memujuknya untuk mendapatkan sijil.
Melalui hantaran di laman Facebook, wanita bernama Nor Azlin itu mengakui terkejut apabila terdapat individu yang meminta pertolongannya bagi mengubah statusnya di aplikasi MySejahtera.
Dia turut menyatakan bahawa ia merupakan pengalaman pertamanya dalam menghadapi permintaan yang pelik serta salah dari segi undang-undang itu.
Permintaan ditolak mentah-mentah
Menurutnya lagi, dia telah menolak permintaan individu tersebut selain turut tidak bersetuju sekiranya diberikan wang tunai.
Kalau pun tuan bayar saya 2 JUTA sekali pun, saya tak akan bantu tuan. Tuan seolah olah tak menghormati kerja buat kami dan menganggap permintaan tuan itu satu permintaan yang remeh.
Selain itu, petugas itu turut menyoalkan sikap pentingkan diri individu tersebut tanpa memikirkan orang lain.
Permintaan tersebut seolah-olah tidak menghormati pekerja yang menjalankan tugas di pusat PPV selain menyifatkan perkara itu mampu meningkatkan lagi angka jangkitan.
Lontarkan kata-kata kesat
Berhubung dengan penolakan itu, petugas itu turut menzahirkan rasa sedih apabila dia dihemburkan dengan kata cacian selepas menolak permintaan tersebut.
Walaupun petugas itu memberikan nasihat secara baik, namun individu tersebut yang dilihat kecewa bertindak menulis perkataan yang tak sepatutnya kepada petugas itu.
Walaupun menerima makian, petugas itu turut menasihati individu tersebut supaya lebih beradab dan menghormatinya serta sukarelawan yang bekerja di PPV.
Mengakhiri hantarannya, dia turut menasihati masyarakat agar tidak melakukan perkara sedemikian serta mendoakan supaya orang awam untuk mendapatkan suntikan.
Walaubagaimanapun, perkara yang dilakukan petugas itu layak menerima pujian selepas menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.
Semoga negara kita terus menunjukkan angka jangkitan yang semakin menurun serta dijauhkan dari menerima jangkitan yang mampu mengancam nyawa ini. Amin.
Kredit: Facebook Nor Azlin