“Ia merah jambu, maksudnya bayi…” hasrat Raja Ilya & suami timang anak perempuan tercapai

“Ia merah jambu, maksudnya bayi…” hasrat Raja Ilya & suami timang anak perempuan tercapai

Hasrat pelakon Raja Ilya dan suami, Trent Garret untuk menimang cahaya mata sulung perempuan nampaknya akan tercapai tidak lama lagi.

Berita gembira tersebut diumumkan Garret apabla mengesahkan bayi dalam kandungan isterinya sebagai perempuan.

“Ia merah jambu. Maksudnya, bayi le…, maaf, perempuan,” kata Garret dalam video ketika memotong kek yang dimuat naik Raja Ilya dalam Instagram miliknya.

Dalam hantaran sama, Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad turut berkongsi perasaan teruja untuk menimang cahaya mata pertama perkahwinan mereka itu.

“Wow sangat excited (teruja). Memang nak sangat bayi perempuan sebagai anak pertama.

“Bolehlah melaram sekali nanti. Syukur alhamdulillah. Dia tahu yang terbaik buat kami,” tulisnya.

“Allah tahu yang terbaik untuk kami. Nasib baik bukan bayi lelaki. Kita tak ada pengalaman sangat mengendalikan bayi lelaki.

“Sebelah (keluarga) Garret pula, semua lelaki. Jadi, mereka memang mengharapkan ada bayi perempuan dalam keluarga,” tulisnya yang menetap di negara kelahiran suaminya, Australia sejak 2019.

Pada masa sama, Ilya turut mengucapkan terima kami atas doa pengikutnya yang rata-rata berharap bayi yang bakal dilahirkan itu nanti dalam keadaan sihat.

“Ramai yang teka bayi lelaki. Saya hargai tekaan anda semua. Paling penting, bayi sihat walafiat. Terima kasih untuk semua doa dan ucapannya,” katanya lagi.

Bulan lalu, Ilya mengumumkan dirinya hamil anak sulung dengan usia kandungan memasuki lima bulan. Dia dijangka bersalin sekitar Julai nanti.

Untuk rekod, Ilya dan Garret melangsungkan pernikahan pada 23 Disember 2018.