” Ia calarkan reputasi kami..” – Sheila Rusly nafi curi-curi buat penggambaran
Pelakon dan Penerbit Shiela Rusly yang sedang mengadakan penggambaran drama Roti Cicah Susu di Perak Techno Trade Centre (PTTC), Ipoh, telah diarahkan untuk menghentikan penggambaran oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada 2 Oktober lalu, atas alasan tidak memiliki Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).
Shiela berkata tindakan yang diambil terhadap JS Pictures bukan sahaja mencalar reputasi syarikat penerbitannya itu, malah, suatu tuduhan berat yang amat mengecewakan.
Pelakon Leftenan Zana itu berkata sehingga hari ini mereka masih belum mendapat penjelasan daripada FINAS berhubungan tindakan itu. Perkara itu disenyapkan begitu sahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku.
FINAS sepatutnya membantu memudahkan kerja kami, bukannya menyulitkan keadaan
Menurut Shiela, sepanjang JS Pictures beroperasi, semua urusan penggambaran dibuat dengan profesional. Tetapi apabila kejadian seperti itu berlaku, ia mencalarkan reputasi mereka seolah-olah mereka curi-curi buat penggambaran.
Tidak puas hati dengan tindakan FINAS, Sheila mendakwa pernah menghubungi pegawai terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun, dakwanya, usaha itu gagal.
Sheila mendakwa masih keliru dengan insiden yang menimpa syarikat produksinya itu. Katanya lagi, dia tidak tahu apakah niat pihak itu jika benar perbuatan ini adalah suatu cubaan mensabotaj syarikat produksi mereka.