Hormat orang berpuasa, lelaki cina sanggup berpanas
Sejak kebelakangan ini, banyak dikongsikan di media sosial tentang masyarakat bukan Islam yang menghormati mereka yang berpuasa. Walaupun mereka sebenarnya tidak perlu melakukannya, sikap toleransi yang ditunjukkan cukup mencairkan hati ramai. Sama seperti yang dikongsikan lelaki berbangsa Cina ini yang memilih untuk makan secara bersembunyi di belakang kedainya.
Menurutnya, dia mahu menghormati orang lain yang berpuasa di bulan Ramadan ini. Perkongsiannya juga tular di Tik Tok di mana ia meraih lebih 600,000 tontonan dalam masa sehari dikongsikan. Para netizen turut memuji sikap toleransi yang ditunjukkan lelaki yang bekerja di sebuah kedai motor ini.
@jamestatt_oe Kami mesti respect setiap orang ! #tiktok #foryoupage #whsmotor #tiktokguru #powerAwesome #tiktokmalaysia #oeacademy
Di dalam video yang dikongsikan ini, lelaki itu dilihat memegang sebungkus nasi campur dan menyorok di bahagian belakang kedainya. Walaupun terpaksa berpeluh menahan panas, lelaki itu memberitahu dia tidak kisah asalkan dapat menjaga adabnya dalam menghormati mereka yang berpuasa. Dapat dilihat lelaki itu juga berpeluh-peluh semasa makan di kawasan itu.
Lelaki itu turut memberitahu dia sendiri mungkin akan berasa tidak selesa jika ada yang makan di hadapannya jika dia juga berpuasa. Itulah sebabnya dia memilih untuk makan secara bersembunyi seperti ini. Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen memberikan pujian pada sikap bertimbang rasa yang ditunjukan. Namun, ada juga yang mengatakan ia tidak menjadi masalah jika dia makan di hadapan orang yang berpuasa.