Hoki piala Asia: Malaysia mara ke final, benam Jepun 5-0

Hoki piala Asia: Malaysia mara ke final, benam Jepun 5-0

 

 

Malaysia kini secara sahnya berjaya mara ke peringkat akhir Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 selepas membenam skuad hoki Jepun dengan keputusan 5-0.

Dalam perlawanan yang mendebarkan itu, skuad hoki kebangsaan melakukan asakan bertali arus sehingga menyebabkan pemain Jepun banyak ‘hilang bola’.

Gol-gol yang dijaringkan pemain Malaysia disumbangkan oleh Shello Silverius pada minit ke-15 di suku pertama, diikuti Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang menambah keselesaan skuad negara dengan gol kedua pada minit ke-30 sebelum tamat suku kedua.

Keterujaan skuad hoki negara tidak berakhir di situ apabila Muhammad Razie Abdul Rahim terus gagah meledak jaringan gol buat negara menerusi “penalty corner” pada suku ketiga.

Gambar: Facebook Malaysia Hockey Cofederation

Malah tidak sampai seminit selepas gol Muhammad Razie, kelekaan skuad Jepun terus dihukum dengan gol padang Muhammad Syafiq Hassan pada minit ke-35.

Mohamad Ashran Hamsani terus menambah derita skuad negara matahari terbit itu dengan gol kelima negara pada minit ke-42 ketika penghujung babak ketiga.

Sehubungan itu, gol padang Muhammad Ashran tersebut sekaligus mengesahkan kemenangan besar skuad hoki Malaysia ke atas Jepun dengan keputusan 5-0 tanpa balas.

Ekoran kemenangan ini, Malaysia seterusnya bakal berentap di peringkat akhir sama ada bertemu India ataupun Korea Selatan kelak.