Hilang 0.8 liter darah sebulan, akibat terpedaya iklan kerja palsu.

Hilang 0.8 liter darah sebulan, akibat terpedaya iklan kerja palsu.

Ho Chi Minh: Malang nasib seorang lelaki China apabila diculik dan dijadikan ‘hamba darah’ selama berbulan-bulan di Kemboja selepas terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan palsu.

New York Post memetik South China Morning Post (SCMP) melaporkan lelaki yang hanya dikenali dengan nama keluarga Li berjaya melarikan diri awal bulan ini dengan bantuan ahli kumpulan samseng yang menahannya di bandar Sihanoukville di Kemboja.

Dia kini dirawat di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sejak Ogos tahun lalu, kumpulan itu dilaporkan mengambil 0.8 liter darah setiap bulan daripada lelaki berusia 31 tahun itu.

Darah itu dipercayai dijual kepada pembeli persendirian.

Akibatnya, lengan Li lebam teruk dan dipenuhi kesan jarum ketika dimasukkan ke hospital, minggu lalu.

Lelaki yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Shenzhen dan Beijing memberitahu pemberita, pada mulanya dia mengetahui tawaran kerja di wilayah autonomi Guangxi Zhuang di selatan China.

Difahamkan, Li kemudian ditahan dengan individu bersenjata dan dibawa merentasi sempadan China-Vietnam dan dibawa ke Ho Chi Minh City.

Di situ, dia dijual pada harga AS$18,500 (kira-kira RM77,441) kepada kumpulan Kemboja yang menjalankan skim penipuan.

Dia kemudian enggan menyertai skim penipuan kumpulan itu.

Mengetahui Li seorang yatim piatu dan tidak boleh ‘digunakan’ untuk wang tebusan, kumpulan itu bertindak menggunakan lelaki itu sebagai ‘hamba darah’.

Li mendakwa, sekurang-kurangnya tujuh lelaki lain ditahan dalam bilik yang sama dengannya.

Katanya, dia mempunyai darah O negatif dan oleh kerana itu, kumpulan berkenaan mengambil lebih banyak darah daripadanya berbanding lelaki lain.

Menurutnya, salah seorang ahli kumpulan terbabit memberitahu jenis darahnya agak berharga.

Katanya, lebih menakutkan apabila kumpulan penculik itu mengancam untuk menjualnya kepada pengedar organ haram, jika tidak memberikan darahnya kepada mereka.

Menurut satu laporan, Kedutaan China di Kemboja berkata, pihaknya sudah meminta polis Kemboja untuk memberi keutamaan kepada kes itu.

Pihak kedutaan juga menghantar kakitangan melawat Li di hospital.