Haqiem Stopa rimas bawa gelaran ‘ikon permotoran’ penat disindir setiap hari

Haqiem Stopa rimas bawa gelaran ‘ikon permotoran’ penat disindir setiap hari

Nama TikToker terkenal, Haqiem Stopa rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Setiap hari ada sahaja kisah berkenaan dirinya yang menjadi topik utama bualan netizen di media sosial.

Seiring dengan kecaman-kecaman yang diterima, nampaknya populariti pemuda berusia 22 tahun tersebut terus meningkat dan membolehkan dirinya menjelaskan tentang gelaran ‘ikon permotoran’ yang diberikan kepadanya.

Tak perlu pun gelaran tu

Menerusi perkongsian dari video temu bual yang dikongsikan pihak Mstar, Haqiem Stopa memaklumkan yang dia sama sekali tidak memerlukan gelaran tersebut kerana ia diberi secara tidak rasmi dan turut tidak mendapat apa-apa bayaran pun.

“Kalau kata nak lucutkan tu ambillah… memang saya tak nak dan boleh berhenti panggil saya ikon permotoran.
“Kalau rasa ada orang lain layak… pergi bagi pada yang layak.
“Netizen mengecam saya seolah-olah saya menerima ikon permotoran tu secara rasmi itu yang buat saya rasa marah sikit… padahal perkara itu tidak benar, gaji pun tiada buat apa saya nak ambil,” katanya.

 

Rasa rimas dengan semua kecaman

Ditanya tentang perbezaan selepas mendapat jolokan ‘ikon permotoran’ itu, Haqiem menjawab yang dia berasa rimas dengan semua tumpuan yang diberikan.

Mana tidaknya, tiap apa yang dilakukan menjadi serba tidak kena dan lebih banyak respon negatif berbanding positif sehingga menganggu kerja-kerjanya.

“Dia jadi makin rimas lah”
“Banyak benda tak kena, nak buat apa-apa tak boleh. kalau kita salah cakap pun orang pertikai. nak menegur tu okey, tapi jangan sapai menghina, rasanya tu dah tak patut”
“Setiap apa yang saya kongsikan di media sosial pasti ada komen negatif. Jadi rasa tu macam masalah. Saya nak berniaga, orang kacau, buat video YouTube orang kacau. Dah 4 bulan macam tu,” luahnya.

 

Namun begitu, dia sama sekali tidak akan menyerah dengan apa yang terjadi kerana sudah berusaha dari awal untuk membangunkan apa yang dilakukan sekarang.

Pemilik nama sebenar Muhammad Sadzri Hakim Jaafar itu juga sempat memberitahu yang dia sama sekali tidak kisah atau ‘koyak’ jika orang ramai menghentamnya, namun jangan sesekali buat begitu kepada ibu bapanya yang masih hidup.

“Hentam saya, saya boleh terima. Mak ayah saya jangan! mak ayah saya hidup lagi. Nak kutuk saya cacat, saya tak kisah, saya ‘koyak’ kalau sentuh mak ayah saya,” ujarnya

 

 

Tak larat nak pegang gelaran ‘ikon permotoran’

Dalam pada itu, Haqiem juga memaklumkan dia sudah tidak larat memegang gelaran ‘ikon permotoran’ dan kalau diberi peluang, dia sudah tidak mahu dipanggil sebegitu lagi.

“Kita bagi kepada orang selayaknya. Saya penat diperli-perli. Tak larat dah nak menjawab. Saya ada banyak benda lagi nak buat”
“Boleh berhenti panggil saya ikon permotoran…mereka buat saya seolah-olah saya menerimanya secara rasmi. Padahal surat takde, gaji pun takde,”

 

Bercerita tentang penerimaan terhadap kecaman-kecaman tersebut, pemuda itu mengakui banyak bersabar dan memohon kepada Tuhan supaya diberi kesabaran agar tidak menggangu kesihatan mentalnya.

Dia akui ada makan hati dengan setiap kecaman yang diterima namun tidak mampu untuk membalas segalanya.

“Nampak sihat, nampak okay tapi banyak makan hati. Orang bercakap tentang keluarga, pasal lifestyle, perkara tu semua merimaskan. Saya susah nak buat kerja”
“Saya cuma minta dengan tuhan, supaya tenang”

 

Di akhir temu bual bersama sumber, Haqiem memberikan sedikit pesanan kepada orang ramai di luar sana supaya berhati-hati dalam menulis dan berkata-kata kerana bukan semua yang dinyatakan adalah benar.

“Pesanan saya, sebelum menilai atau berkata-kata atau menulis, make sure ambil tahu dengan cara yang betul dan menegur dengan cara yang betul. Jangan percaya bulat-bulat. Elakkan cerita-cerita yang boleh mengundang fitnah”

 

Terdahulu, nama Haqiem Stopa telah menjadi bualan ramai setelah Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal menggelar TikToker itu sebagai ‘ikon permotoran’.

Sejak dari itu, setiap tindakan yang dilakukan olehnya telah mendapat kecaman netizen dan yang terbaru adalah isu tidak mempunyai lesen memandu ketika mengendali kereta jenis Audi sehingga disaman oleh pihak berkuasa.

Sumber: YouTube Mstar Online (Amin Hazlan), Instagram Haqiem Stopa