Hanya kerana jujur & bersuara mengenai sistem pendidikan negara, guru dapat surat tatatertib
Baru-baru ini, tular hantaran seorang guru dikenali Mohd Fadli Salleh mendedahkan dia telah menerima surat tindakan tatatertib dengan tujuan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Menerusi hantaran dikongsikan di laman Facebook, dia yang mesra dikenali Cikgu Mohd Fadli mendakwa dikenakan tindakan tersebut kerana hanya menyatakan kebenaran mengenai sistem pendidikan negara pada masa kini.
Antara isu disuarakan adalah melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.
Cikgu Mohd Fadli mendakwa, tindakan tersebut tidak sewajarnya berlaku memandangkan beliau sendiri tidak pernah terlibat dalam sebarang masalah disiplin, bukan juga selalu MC dan ponteng kerja.
Beliau juga menyatakan tidak pernah terlibat kes pukul guru besar, gaduh dengan rakan sekerja atau ibu bapa. Malah, jauh sekali terlibat kes cabul atau rogol murid.
Sebaliknya, mendapat markah prestasi kerja yang cemerlang.
Mengulas lanjut, beliau mengatakan tindakan itu dikenakan kerana tidak menggunakan saluran yang betul dalam menyampaikan isu-isu tersebut, sebaliknya hanya menggunakan platform media sosial seperti Facebook sahaja.
Ujarnya lagi, beliau sudah meluahkan dalam saluran paling betul, masa penataran buku silibus baru di PPD di hadapan lebih 30 orang guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Berdasarkan surat tatatertib tersebut, beliau yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, patut dikenakan tindakan tatatertib atas tiga pertuduhan.
Pertuduhan tersebut berhubung jadual waktu dan mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah, subjek matematik diajar pada murid Tahun 1 dan sesi Facebook live dengan mengatakan banyak silibus mengarut diajar di sekolah.
Hantaran tersebut mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan mahu berjumpa dengan beliau bagi membincangkan secara lebih lanjut.
Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh