Hantar gambar lucah melalui WhatsApp, seorang lelaki didakwa
Peniaga lelaki didenda RM8,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini, hari ini, atas pertuduhan menghantar gambar lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang wanita, empat tahun lalu.
Tertuduh, Chang Yoon Siong, 31, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Noor Aini Yusof selepas dia mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Bagi setiap pertuduhan, dia didenda sebanyak RM1,600 dan jika gagal membayar, tertuduh akan dipenjara sebulan.
Mengikut pertuduhan, lelaki dari Puchong, Selangor itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah ke nombor telefon seorang wanita berusia 46 tahun dengan niat bagi menyakiti hatinya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu menerusi lima kiriman WhatsApp dengan gambar sebanyak dua kali pada 1.11 pagi dan tiga kali pada 5.32 petang, 8 Januari 2017, ketika wanita terbabit berada di rumahnya di Taman Aman Jaya, Bukit Mertajam di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – HM