Hadir senyap-senyap majlis ilmu Neelofa, Jasmine Suraya tertarik & mahu mendalami Islam

Hadir senyap-senyap majlis ilmu Neelofa, Jasmine Suraya tertarik & mahu mendalami Islam

Baru-baru ini, pelakon Jasmine Suraya Chin menjadi tumpuan apabila hadir ke majlis ilmu yang dianjurkan oleh selebriti dan usahawan popular Neelofa.

Menurut laporan Harian Metro, pelakon berusia 33 tahun itu hadir secara senyap-senyap kerana tertarik untuk mengetahui tentang Islam sejak tiga tahun kebelakangan ini.

 

“Secara jujurnya, ini boleh dikatakan sebuah perjalanan yang cukup peribadi untuk saya. Hakikatnya, saya kalau boleh nak simpan hal untuk peribadi saja. Saya pun tak berani nak kecoh sangat.
“Saya pun melalui isu peribadi dan jemputan itu datang tanpa disangka. Seorang kawan ajak saya kerana dia tahu saya tertanya-tanya dan mahu tahu lebih lanjut.
“Saya ingin tahu sebab mahu dapatkan kepastian. Apabila kita tiada pegangan, banyak hal dirasakan seperti tak stabil. Mungkin asal-usul saya agak bercelaru dan tidak seimbang, itu yang saya rasa,” katanya.

 

Pelakon drama Bidadari Salju itu berkata, pada mulanya dia memikirkan bahawa majlis Hijrah Cinta itu adalah perbincangan mengenai topik cinta sebelum menyedari ia berkaitan kisah nabi.

 

“Saya rasa ia cukup menarik dan saya pergi. Menariknya, beberapa kisah yang ustazah kongsi ketika itu sangat berkaitan dengan diri saya.
“Sebenarnya saya tak nak orang tahu saya pergi. Sepanjang majlis pun saya pakai pelitup muka dan ramai tidak cam…
“…meskipun ramai sebenarnya kawan saya hadir ketika itu. Saya pun tak berani nak tegur mereka. Saya enggan tonjolkan diri,” ujarnya.

Tambah Jasmine, dia juga gembira dan terharu apabila Neelofa serta rakan-rakan mengalu-alukan kehadirannya pada majlis tersebut.

“Ada perkara yang dikongsi ustazah juga cukup menyentuh saya. Saya tak pernah percaya mengenai sebarang petunjuk. Tapi saya bertanya kepada kawan, adakah itu satu petunjuk?” kongsinya.

Sumber: Harian Metro (Georgie Joseph) , Instagram Jasmine Suraya & Adib Aizat