Guru sekolah agama ditahan cabul pelajar perempuan

Guru sekolah agama ditahan cabul pelajar perempuan

 

 

Seorang guru sebuah sekolah agama di sini ditahan selepas dipercayai mencabul pelajar perempuan Tingkatan Dua.

Suspek berusia 36 tahun ditahan diperkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai jam 2.30 petang semalam susulan laporan polis dibuat mangsa pada hari sama.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata suspek dikatakan melakukan kejadian itu sebanyak tujuh kali pada 2020 sehingga Januari tahun lalu.

“Menerusi laporan yang dibuat, mangsa ketika itu berusia 14 tahun mengatakan pada Mac 2020 semasa berada di hadapan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), mangsa terserempak dengan gurunya.

“Guru terbabit kemudian memaksa mangsa masuk ke dalam keretanya dan meraba badan serta mencium mangsa beberapa kali.

“Pada Mei 2020 pula ketika mangsa berada Kampung Mambong di sini, mangsa juga diganggu oleh guru berkenaan dengan gambar lucah yang dihantar melalui WhatsApp,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, mangsa turut memaklumkan kejadian sama berlaku Januari tahun lalu apabila suspek melakukan amang seksual terhadap mangsa dalam kawasan sekolah.

“Susulan laporan dibuat mangsa, pihak polis menahan suspek iaitu guru Matematik dan Sains petang semalam.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek adalah negatif dan suspek kini ditahan reman lima hari sehingga 7 Jun ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.