Geng motosikal pukul & samun pembantu peribadi diburu polis

Geng motosikal pukul & samun pembantu peribadi diburu polis

Sekumpulan lelaki bermotosikal yang tular memukul dan menyamun pembantu peribadi jalan raya persimpangan lampu isyarat Persiaran Setia Dagang U13 Setia Alam, kini diburu polis.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi, Ahad lalu ketika mangsa merupakan seorang lelaki menunggang motosikal seorang diri di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa telah mengalami kecederaan lebam di mata dan pipi dan luka pada kedua-dua belah tangan kerana dipukul termasuk menggunakan topi keledar.

“Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kerugian apabila telefon bimbit jenis Huawei Nova 4 dan dompet yang mengandungi dokumen penting serta wang RM50 telah disamun suspek.

“Selain itu, motosikal mangsa turut dibawa lari oleh kumpulan suspek yang tidak dikenali tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, insiden yang menimpa mangsa telah dilaporkan isterinya sejurus kejadian berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Saiedayu di talian 03-5520 2222.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Terdahulu insiden itu tular menerusi video berdurasi satu minit 41 saat memaparkan mangsa dipukul berulang kali kumpulan suspek.