Geng Gopal kantoi dicekup polis

Tiga lelaki ahli kumpulan Geng Gopal yang bergiat aktif melakukan kegiatan samun jalanan sejak awal tahun ini akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mereka ditahan dalam serbuan pada 11 pagi, 7 Mac lalu.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 26 hingga 30 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan sekitar daerah ini.

“Kita turut merampas parang iaitu senjata digunakan mereka ketika menyamun, telefon bimbit dan barang kemas dipercayai hasil kegiatan itu,” katanya pada sidang media di IPD Kulim, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, kumpulan ini terbabit lebih daripada 10 kes samun di daerah itu.

“Modus operandi mereka adalah dengan bergerak secara berkumpulan pada lewat malam dan mensasarkan rumah ibadat seperti kuil hindu yang terdapat barang kemas disumbangkan penganut.

“Mereka juga mensasarkan individu yang berjalan atau menunggang motosikal berseorangan dengan menahan mangsa di tepi jalan sebelum merampas barang berharga milik mangsa,” katanya.

Tambahnya, ketua ahli kumpulan ini yang dikenali sebagai Gopal berusia 27 tahun mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah samun dan dadah.

“Dua lagi anggota kumpulan itu masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun, pecah rumah, curi dan dadah. Mereka akan direman sehingga 20 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – HM