GEMPAR | Sajat terima ancaman bunuh?

Bekas menteri hal ehwal Islam, Mujahid Yusof Rawa mengingatkan orang ramai agar tidak memberi reaksi keterlaluan terhadap pengumuman oleh pengusaha kosmetik Nur Sajat yang menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Islam.

Baru-baru ini, Nur Sajat dalam siaran langsung di Instagramnya yang kini dinyahaktif, seolah-olah memberi isyarat mahu memeluk agama lain.

Pengumumannya itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen, dengan beberapa orang mengancam akan membunuhnya.

“Jangan bertindak balas secara keterlaluan, siapakah kita untuk menilai dia. Daripada menghukumnya, kita perlu terus memujuknya agar tidak bertukar ke agama lain. Itulah reaksi yang tepat,” kata Mujahid kepada FMT.

Bagaimanapun Mujahid berkata, Nur Sajat seharusnya tidak menggunakan kelemahan institusi agama dalam menangani kesnya sebagai alasan untuk menukar agama.

“Kelemahan dan ketidaksempurnaan datang daripada institusi, bukan daripada Islam. Jadi, Sajat tidak seharusnya menggunakannya sebagai alasan untuk memeluk agama lain. Itu tidak adil,” tambahnya.

Justice for Sisters (JFS), sebuah NGO yang memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berkata, wujud kebimbangan jelas bahawa mereka daripada komuniti transgender mungkin menjadi mangsa keganasan dan jenayah kebencian.

Menyifatkan reaksi orang ramai sebagai ekstrem, pengasas JFS Thilaga Sulathireh memberitahu FMT: “tindakan melampau mereka dihalalkan pula oleh tafsiran patriarki terhadap agama dan undang-undang yang mengkriminalisasi individu berdasarkan identiti jantina, kepercayaan agama atau kekurangannya, kebebasan bersuara dan sebagainya.

“Hakikat bahawa sesiapa sahaja boleh mengajak melakukan keganasan dan mengeluarkan ancaman bunuh secara terbuka, menunjukkan tingkat kekebalan yang tinggi di negara ini, terutama terhadap wanita trans dan kepelbagaian jantina.

“Bentuk ekstremisme berdasarkan agama dan idea patriarki adalah keadaan yang membimbangkan.”

Thilaga berkata, keadaan keadaan semasa berkaitan Sajat tidak boleh dipandang ringan.

“Pihak berkuasa mengambil langkah memastikan keselamatan Sajat, individu transgender serta LGBTIQ secara umum.”

Tambahnya, pihak berkuasa harus lebih berhati-hati ketika mendakwa seseorang menghina Islam.

“Saya rasa kita perlu mengupas apakah yang dikatakan menghina Islam. Saya rasa kerajaan berisiko kehilangan maksud sebenar menghina Islam atau agama apabila ia digunakan sewenang-wenangnya seperti ini.

“Dengan mengatakan bahawa Sajat menghina Islam kerana mengenakan abaya atau baju kurung, negara ini seolah-olah menyifatkan kewujudannya sebagai penghinaan terhadap Islam kerana apa yang dia pakai adalah manifestasi siapa dirinya sebenar.”

Sementara itu, Sisters In Islam (SIS) berkata, jenayah kebencian dan ancaman bunuh terhadap masyarakat terpinggir harus dipandang serius oleh pihak berkuasa, masyarakat dan pemimpin agama.

“Ancaman bunuh adalah jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala ancaman di media sosial adalah jenayah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

“Tindakan pemimpin agama dan pihak berkuasa yang memilih untuk berdiam diri dalam isu melibatkan ancaman bunuh cukup mengecewakan.

“SIS mendesak masyarakat agar bertenang, tidak menyebarkan kebencian, mengancam dan mendorong tindakan ganas terhadap Nur Sajat atau masyarakat transgender pada umumnya,” kata kumpulan wanita itu. – FMT