Gempar!! Penantian 30 tahun, dapat bekalan air bersih di Kelantan
Penantian lebih 30 tahun kira-kira 150 penduduk Kampung Tok Puchong, dekat sini, yang ketiadaan air bersih hampir berakhir apabila bekalannya sudah mula disalurkan.
Bekalan dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mula disalurkan ke sembilan kediaman sebagai permulaan dan masing-masing sangat teruja apabila air bersih keluar dari paip di luar dan dalam rumah.
Ismail Hamat, 67, berkata, sebelum ini dia berulang-alik beberapa kali dengan menunggang motosikal membawa tong 10 liter ke mesin air bertapis kira-kira 300 meter dari rumah untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Sambil mengalirkan air mata, dia berkata, selepas ini mereka sekeluarga sudah boleh mandi lebih daripada sekali berbanding sebelum ini, disebabkan ‘sayangkan’ air yang dibeli kerana perlu digunakan untuk keperluan lain termasuk memasak dan minum.
“Kami juga kerap mengambil air di masjid dan saya mengambil bersama cucu perempuan yang menunggang basikal.
“Hanya Allah saja yang tahu perasaan kami sebaik melihat air bersih keluar daripada paip dan disebabkan terlalu teruja, saya berkumur beberapa kali dan membasuh muka kerana ia tidak lagi masin serta payau seperti air telaga tiub sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Akhbar sebelum ini menyiarkan kisah lebih 150 penduduk kampung itu yang berdepan dengan situasi tiada bekalan air bersih dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli air untuk kegunaan harian.
Bukan itu saja, ada yang membawa bekas atau botol mengambil bekalan di surau dan masjid sekitar malah sebahagian besar membina telaga tiub walaupun air yang diperoleh agak berbau, masin dan payau.
Ismail berkata, banyak perubahan yang dirasai selepas ini antaranya pinggan mangkuk sudah tidak lagi berkarat dan pakaian juga akan kembali bersih tanpa warna kekuningan kerana sebelum ini, mereka mencuci menggunakan air telaga tiub.
Menurutnya lagi kelegaan juga dirasai apabila sudah tidak perlu berulang-alik setiap hari membeli air bersih untuk kegunaan mereka enam beranak termasuk dua anak istimewanya, Ahmad, 39, yang menghidap masalah mental dan tidak boleh bercakap sejak bayi, serta Mohd Suhaimi, 31, yang terlantar sejak tiga tahun lalu akibat diserang strok haba.
“Paling perit untuk memunggah air adalah ketika musim hujan dan bulan Ramadan kerana kekangan situasi ketika itu dan keadaan semakin teruk jika berlaku hujan lebat atau motosikal rosak.
“Hampir separuh daripada usia saya dihabiskan dengan mengangkut air dan banyak wang dihabiskan untuk itu, malah anak cucu juga jarang melawat disebabkan masalah air dan tidak mahu membebankan kami.
“Saya mewakili penduduk kampung ini sangat berterima kasih kepada kumpulan aktivis masyarakat Cempaka Merah Asnaf Society yang banyak membantu kami mencari ikhtiar untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro