Gempar! Nenek didakwa membunuh pijak perut cucu OKU hingga maut

Nenek kepada kanak-kanak OKU lima tahun yang mati dipijak sehingga usus dalaman pecah didakwa di Mahkamah Majistret disini hari ini.

Tertuduh, Ipzuma Ambo, 55, yang merupakan nenek saudara kepada mangsa tidak direkodkan sebarang pengakuan selepas pertuduhan dihadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Ini kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Ipzuma didakwa dengan niat melakukan pembunuhan itu terhadap mangsa dan pertuduhan dibacakan di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Ipzuma, seorang warga Indonesia kelihatan bersahaja ketika pertuduhan itu dibacakan sebentar tadi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Chin Chin, Gombak di sini antara 28 Disember 2020 pukul 12.01 pagi sehingga 30 Disember 2020 pukul 8.10 malam.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari kedutaan Indonesia.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen pula, bapa kandung kepada kanak-kanak itu didakwa atas tuduhan mengabaikan mangsa.

Tertuduh, Roza Iskandar, 34, dituduh telah menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh kanak-kanak itu.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 Januari sehingga 30 Disember juga dialamat sama.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Maziah Joary Mohd Tajudin.

Roza didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(!) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bersama syarat tambahan lain.

Antaranya melaporkan diri setiap bulan di balai polis terdekat, selain diberikan amaran tidak menganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Suriati Che Ariffin memohon supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 kerana tidak berkemampuan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 serta syarat tambahan lain dengan tarikh sebutan kedua-dua pertuduhan pada 18 Februari depan.

Kematian kanak-kanak yang menghidap penyakit Hydrocephalus iaitu lebihan cecair otak sejak lahir itu menggemparkan kerana dia disyaki didera oleh nenek serta bapa kandungnya.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pecah usus dalaman dan terdapat parut lama serta baharu pada badan mangsa dipercayai akibat didera. – MG