Gempar! Miss Universe Malaysia positif Covid-19

Meskipun sudah memakai pelitup muka, menggunakan sanitasi dan membasuh tangan, Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong tetap mengakui kecuaian diri adalah sebab dia dijangkiti Covid-19.

Justeru, Francisca, 25, berkata dia perlu berlapang dada apabila dimaklumkan dijangkiti wabak itu baru-baru ini.

“Saya berjaya mengharungi Covid-19. Apabila saya menerima keputusan, saya sedar ia adalah kesilapan sendiri. Saya dah lakukan segala-galanya. Saya pakai pelitup muka, basuh tangan tapi ia tetap berlaku.

“Perkara terbaik adalah untuk menerima dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) tentang apa perlu dilakukan seterusnya,” katanya di Instagram.

Pemilik nama penuh Francisca Luhong James itu menceritakan betapa tubuhnya menggigil selepas menerima keputusan ujian kerana dia tidak tahu apa yang patut dilakukan.

“Saya terus hubungi ibu dan bapa. (Sebenarnya) saya amat takut untuk maklumkan sebab tahu bagaimana bimbangnya mereka nanti (mereka betul-betul risau dan saya minta maaf).

“Namun mereka berjaya menenangkan saya dan meminta saya mengikuti SOP serta memaklumkan Elaine Daly (Pengarah Kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia).

Kata anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, dia kemudian menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri kerana tidak mempunyai sebarang gejala.

“Amat menakutkan untuk ambil keputusan kerana saya memang okey, semua baik, tiada demam cuma sakit belakang sedikit dan selesema. Selain itu semuanya baik-baik saja,” katanya lagi.

Francisca memohon maaf kepada peminat kerana tidak mendedahkan perkara tersebut sebelum ini.

“Saya tahu saya banyak berdiam diri sejak kebelakangan ni. Saya baca semua mesej anda yang bertanyakan kenapa. Saya menjalani kuarantin dua minggu lalu, bermeditasi dan sekarang mengasingkan diri untuk beberapa hari bagi memastikan semuanya baik.

“Saya sudah memaklumkan semua kontak rapat saya dan mereka sudah menjalani saringan yang kemudian disahkan negatif. Saya juga membuat ujian sekali lagi selepas 10 hari kuarantin kendiri dan keputusannya negatif.

“Saya sihat hari ini dan terima kasih untuk mesej positif, sokongan dan doa kalian. Bukan cara yang baik untuk memulakan tahun ini tapi setiap cabaran akan menguatkan minda, tubuh dan jiwa,” katanya lagi. – MK