Gempar! KPDNHEP rampas 1.12 juta pek mi segera guna logo halal yang telah dibatalkan Jakim
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 1.12 juta pek mi segera pelbagai perisa dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Industri Integrasi Rawang, semalam kerana menggunakan logo halal yang dibatalkan.
Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata serbuan sekitar 12 tengah hari itu dilakukan selepas pemantauan selama sebulan pihaknya yang mendapati syarikat memproses makanan segera itu masih menggunakan logo halal yang dibatalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bungkusan produknya.
“Logo halal Jakim syarikat itu dibatalkan pada 28 Okt tahun lepas atas alasan premis berkenaan gagal mematuhi standard pemegang sijil halal yang ditetapkan antaranya kotor dan bahan mentah diletakkan di atas lantai.
“Semasa serbuan, wakil syarikat tersebut memaklumkan mereka telah membuat rayuan berkaitan penarikan sijil halal itu namun ditolak kerana masih gagal mengambil tindakan terhadap teguran jabatan agama terlibat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Muhamad Zikril Azan, turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah 2.69 juta unit plastik pembungkus mi segera, 42,000 unit kotak membungkus makanan tersebut serta 258 gulung plastik pembungkus yang masih tertera logo halal dibatalkan itu dan kesemua rampasan bernilai RM1.49 juta.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.