Gempar!! Dua helikopter bertembung di udara, dua maut

image placeholder

Dua terbunuh manakala dua yang lain cedera parah selepas dua helikopter bertembung antara satu sama lain berhampiran Taman Melawati, Selangor hari ini.

Menurut maklumat awal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, kemalangan itu berlaku menjelang tengah hari.

Difahamkan korban itu membabitkan dua lelaki, manakala mangsa yang cedera melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.46 pagi.

Setakat 1.30 petang ini, jurucakap jabatan bomba memberitahu, mayat mangsa kemalangan itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

Sementara itu laporan Awani menyatakan, seorang daripada mangsa yang terselamat ialah bekas ketua pegawai eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Sementara itu berdasarkan maklumat pada laman sesawang pemantau penerbangan menunjukkan kedua-dua pesawat udara itu berlepas dari Lapangan Terbang Subang pada jam 11.11 pagi dan menuju ke arah Genting Sempah di Bentong, Pahang sebelum berpatah balik ke Gombak pada jam 11.28 pagi.

Radar kemudian gagal mengesan kedua-dua helikopter terbabit selama enam minit sebelum muncul semula tidak jauh dari Empangan Batu semasa ia membelok ke arah tenggara dan terbang lurus sebelum hilang semula pada jam 11.44 pagi.

Mengikut maklumat yang ditemui dalam talian, helikopter berkenaan didaftarkan sebagai milik syarikat swasta, Cabri Blu Sdn Bhd.

Helikopter Cabri G2 itu dibuat syarikat Perancis, Guimbal, dan dilengkapi dengan kipas tiga bilah dan mampu terbang berterusan selama empat setengah jam.

Ia mampu terbang dengan kelajuan maksimum 100 knot.

Sumber: Malaysiakini