Gempar! Cincin tunang tiada di jari Neelofa
“Cincin dah takda (tiada).”
Itu komen warganet apabila melihat pengacara, Neelofa tidak memakai cincin ketika memuat naik video di Instagram, semalam.
Video itu adalah penjelasan susulan timbul beberapa dakwaan membabitkan hubungannya dengan pendakwah bebas yang juga pelakon, PU Riz.
Seorang lagi pengguna akaun @dyglen_ turut menulis komen sama di Instagram Neelofa.
“Cincin tunang tak nampak di jari Neelofa. Semoga kuat semangat mu hadapi ujian Allah,” tulisnya.
Menerusi video dan kenyataan rasmi yang diedarkan kepada media, Neelofa menafikan sudah berkahwin dengan Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail di Kelantan seperti yang tersebar.
Dalam masa sama, bekas pengacara MeleTOP itu juga turut menafikan tuduhan yang mendakwa kononnya dia terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah duit yang banyak kepada pendakwah muda itu.
Soal hubungan mereka, Neelofa berkata, kedua belah keluarga dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.
Video dimuat naik Neelofa sudah melebihi dua juta tontonan dan lebih 14,000 komen.
Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan daripada Riz tidak berjaya apabila panggilan dan mesej yang dihantar tidak dijawab.
Hantaran terakhir dimuat naik Riz di Instagram adalah gambar dia bersama jemaah masjid, semalam.
Terdahulu, Neelofa dilaporkan sudah dirisik oleh Riz pada 1 November lalu di kediaman keluarga Neelofa.