Gara-gara terpijak kepala ketika tidur, seorang lelaki maut ditikam

Gara-gara terpijak kepala ketika tidur, seorang lelaki maut ditikam

Seorang penjaga ayam berang gara-gara kepalanya terpijak sebelum dia menikam seorang lelaki sehingga mati di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas pada malam semalam.

Gara-gara terpijak kepala

Sekadar gambar hiasan

Kejadian berlaku pada pukul 11.46 malam dan suspek warga Thailand yang dikenali sebagai Man Siam telah melarikan diri selepas kejadian berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, sebelum kejadian berlaku, mangsa yang berusia 38 tahun itu bersama bapa sepupunya telah pergi ke rumah seorang ahli keluarga mereka di tempat kejadian.

Tambahnya lagi, suspek yang berusia 20-an itu tinggal di reban ayam di belakang rumah kerana dia bekerja sebagai penjaga ayam ternakan sejak awal tahun ini.

Apabila tiba di rumah ahli keluarga, mangsa yang mengenali suspek pergi ke reban ayam di belakang rumah untuk mencarinya.

Suspek melarikan diri

Tidak lama kemudian, suspek datang ke rumah semula untuk memberitahu dua lelaki berkenaan bahawa dia telah menikam mangsa dengan menggunakan pisau atau golok kecil bersarung. Mangsa dikatakan telah dibawa ke Hospital Machang dan disahkan meninggal dunia.

Kini pihak polis sedang mengesan suspek yang telah melarikan diri dan meminta kerjasama daripada orang ramai agar memberi maklumat jika ternampak suspek. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Sumber : Harian Metro