Gara-gara jongkang-jongket warna pink, sempadan Amerika-Mexico tular

ALAT permainan jongkang-jongket selalunya boleh didapati di taman permainan, taman awam dan sekolah.

Permainan itu biasanya menjadi rebutan dan pilihan riadah kegemaran budak-budak.

Menurut penerangan Dewan Bahasa dan Pustaka, jongkang-jongket ialah sejenis permainan kanak-kanak yang terdiri daripada papan panjang bergandar di tengah dan kedua-dua hujungnya boleh turun naik.

Pernahkah anda membayangkan, alat permainan tersebut mampu menghubungkan silaturahim rakyat di dua negara?

jongkang-jongket pink

Barangkali bunyinya agak keterlaluan dan pelik, namun itulah yang berlaku di sempadan Amerika Syarikat dan Mexico.

Lazimnya, kawasan sempadan menjadi satu lokasi bahaya untuk didekati, namun apa yang dilakukan dua arkitek, Ronald Rael dan Virginia San Fratello ternyata membuka mata dunia.

Demi menghasilkan hasil seni yang menggambarkan krisis kemanusiaan dan keamanan yang masih berlarutan di sempadan selatan negara tersebut, kedua-dua arkitek itu cuba menterjemahkan dengan cara ‘jujur tetapi mampu menghiburkan’ dengan merintis idea yang sangat kreatif.

jongkang-jongket pink

Apa yang dilakukan dua pemuda berkenaan? Mereka telah memasang jongkang-jongket berwarna merah jambu di antara tembok sempadan di antara Sundand Park dan Ciudad Jurez, Mexico.

Apa yang menarik, alat permainan itu tular di seluruh dunia sehingga menerima pengiktirafan Beazley Design of the Year 2020 oleh Design Museum London.

Menurut laporan portal antarabangsa, bbc.com, projek pembinaan jongkang-jongket itu memakan masa 10 tahun itu menjadi viral selepas dikunjungi ramai penduduk yang datang untuk bermain hanya untuk tempoh 20 minit sahaja.

jongkang-jongket pink

Ketua Eksekutif dan Pengarah Design Museum London, Tim Marlow berkongsi pandangannya terhadap idea unik yang disifatkan mampu mendorong jalinan hubungan manusia dengan cara baharu.

“Jongkang-jongket yang dinamakan Teeter-Tooter Wall itu menjadi desain inovatif kerana menyentuh kekuatan hubungan kemanusiaan yang melangkaui krisis yang memecahbelahkan rakyat,” ujarnya.

Nampak menarik bukan? Foto-foto yang banyak dikongsi di seluruh dunia itu menyaksikan ramai kanak-kanak dan golongan dewasa mengambil peluang untuk bermain bersama meskipun berada di dua negara berbeza.

jongkang-jongket pink

 

Terdahulu, projek pembinaan tembok sempadan sepanjang 3,200 kilometer itu pernah dijanjikan mantan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika pemerintahannya yang bertujuan untuk menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.

Apapun, inovasi hebat yang ditonjolkan dua arkitek tersebut cukup menarik untuk diperhalusi sebagaimana usaha rakyat negara itu mencuba sesuatu demi mengembalikan semula hubungan baik kedua negara yang masih ‘panas’. – SP