‘Erti persahabatan’, aksi comel adik tolong urus rakan ‘istimewa’ dipuji netizen

‘Erti persahabatan’, aksi comel adik tolong urus rakan ‘istimewa’ dipuji netizen

 

Erti Sahabat, Akhlak Adik Ni Tolong ‘Urus’ Kawan Dipercayai ‘Istimewa’ Nak Buang Air Buat Netizen Terharu

Setiap individu di dunia ini mempunyai hubungan persahabatan yang akrab sebagai salah satu penghias yang mencorakkan kehidupan. Tanpa seorang sahabat, hidup mungkin akan terasa sunyi, hambar dan tidak berwarna.

Dengan adanya kawan atau sahabat yang boleh dipercayai seperti ahli keluarga sendiri, mungkin sedikit sebanyak mampu menjadikan kehidupan kita di dunia ini menjadi lebih baik.

Sejak zaman sekolah, setiap dari kita pasti mempunyai kawan yang rapat dan sentiasa bersama setiap penjuru sekolah termasuk untuk ke tandas melepaskan hajat. Sudah tentu kita akan ditemani rakan baik.

Meniti kisah menyentuh hati soal erti sebuah persahabatan yang dilihat sangat tulus, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Sungai Kapit, Sarawak, Sylvester Ronny Pulene menerusi laman Facebook miliknya kongsikan kisah dua sahabat membantu rakannya dipercayai istimewa untuk membuang air kecil di tandas sekolah.

Ikuti perkongsian dari beliau yang telah kami kongsikan di bawah. Semoga dengan perkongsian kecil ini dapat memberi inspirasi kepada semua tanpa mengira usia. Kadangkala, yang masih kecil juga mampu menjadi inspirasi kepada yang telah dewasa.

Erti sebuah Persahabatan (Pementas Enggau Kaban)

Selepas waktu rehat, semasa menuju ke kelas saya terserempak dengan tiga sahabat ini (Murid tahun 1). Dua orang rakannya tengah membantu untuk membuka tali pinggang kerana salah seorang dari mereka ingin membuang air.

Murid “J” ini sememangnya istimewa. Dia adalah bekas murid saya di prasekolah. Dia masih tak pandai mengurus diri sendiri. Bahkan semasa di Tahun 1, dia masih lagi menggunakan ‘pampers’. Tapi mungkin hari ini dia tak guna ‘pampers’.

Perbualan mereka juga tidak begitu jelas, agak perlahan. Tapi yang membuatkan saya bangga yang dia mempunyai ramai kawan di dalam kelas yang cukup prihatin dengan keadaan dia. Bahkan kadang-kadang kawannya sanggup tolong dia beratur untuk ambilkan makanan RMT di kantin sekolah.

Dia juga seorang yang sangat peramah walaupun dia agak lain daripada murid yang lain. Pendek kata, rakan yang sekelas dengan dia semua memberikan perhatian kepada pelajar ini walaupun mereka masih di usia 7 tahun.

Kawan dia itulah yang tolong bukakan tali pinggang dan juga kemaskan semula baju dia bila sudah selesai urusan di dalam tandas. Selepas itu mereka pimpin tangan balik ke kelas semula sambil ketawa riang.