Engkar titah Sultan: PAS Pusat akan beri penjelasan

PAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung arahan penangguhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh, petang tadi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad ketika dihubungi berkata, perbincangan dalaman perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan mengenainya dikeluarkan.

“Kemungkinan parti akan keluarkan kenyataan sesuai nanti dan saya tidak boleh komen dulu (mengenai arahan membatalkan rancangan menghantar ADUN mengadap Sultan Nazrin Shah).

“Sebab kita (PAS) ada perbincangan dalaman yang perlu dibuat terlebih dahulu,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang menjelaskan keputusan pembatalan menghadap petang tadi, dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.

Tiga ADUN PAS dijadual menghadap Sultan Nazrin Shah pada jam 3 petang tadi.

Mereka terdiri daripada Razman (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Pagi tadi, wakil ADUN Perak daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dititah menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi sembah maklum berkenaan status terkini politik, selain baginda mahu mendengar pendirian mereka berhubung penubuhan kerajaan negeri.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, pada sidang media di hadapan pekarangan Istana Kinta, sejurus Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selesai menghadap Sultan Nazrin pagi tadi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/762883/pas-pusat-beri-penjelasan-dalam-masa-terdekat