Seorang daripadanya, Anira Ibrahim, 27, berkata, pada awalnya kesemua mereka berteduh di sebuah gerai, namun terpaksa beralih ke tempat lain apabila lokasi berkenaan turut dinaiki air.
“Kami diberi sebuah khemah oleh seorang penduduk dan menempatkan anak kecil di dalamnya. Yang dewasa terpaksa menahan kesejukan bermalam di atas cadar nipis di tepi jalan.
“Kami terperangkap, mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga sudah penuh selain jalan yang menghubungkan lokasi kami berada dinaiki air antara 0.5 sehingga 0.8 meter.
“Insya-Allah kami masih boleh bertahan, namun sangat mengharapkan bantuan makanan kerana kami sendiri terpaksa berjimat dengan masak nasi daripada beras yang sudah ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anira berkata, mereka hanya makan apa yang ada hasil bekalan yang sempat diselamatkan daripada dapur masing-masing sebelum kesemua kediaman mereka ditenggelami banjir dan hanya dapat lihat bahagian bumbung sahaja.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Fatimah Nik Lah, 53, berkata, dia reda dengan apa yang terjadi kerana sudah tidak larat selain menahan sakit di bahagian kaki.
Menurutnya, suami, Ismail Talib, 60, juga tidak begitu sihat tetapi terpaksa berteduh dan bermalam dalam kesejukan, malah ada masanya kami terlelap dalam kebasahan akibat tempias hujan kerana gerai ini tidak berdinding.
“Lebih memeritkan apabila kami hanya tinggal sehelai sepinggan apabila tidak sempat membawa pakaian bersama kerana air naik secara mendadak,” katanya.
Menurutnya, mereka masih belum menerima sebarang bantuan dan anaknya terpaksa meminta tolong melalui laman Facebook kerana sudah buntu memikirkan cara lain.