Empat tahun jadi mangsa liwat guru, pelajar nekad buat laporan polis

Empat tahun jadi mangsa liwat guru, pelajar nekad buat laporan polis

 

Seorang pelajar berusia 14 tahun dilaporkan telah menjadi mangsa liwat guru agamanya dalam kejadian di sini.

Memetik laporan Astro Awani, pelajar tersebut nekad melaporkan jenayah tersebut kepada pihak polis selepas empat tahun menjadi mangsa perbuatan jijik itu.

Mangsa tampil membuat laporan sendiri selepas memaklumkan kepada keluarganya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata bahawa guru berkenaan yang juga warden asrama sebuah sekolah agama di Tanah Merah telah ditahan.

Menurutnya, suspek ditahan di sebuah sekolah agama semalam.

Tambahnya, mangsa mendakwa dia mula diliwat sejak tahun 2018 iaitu ketika usianya bawah 12 tahun.

Malah, perbuatan itu juga didakwa dilakukan lebih dari sekali berdasarkan tempoh tersebut.

“Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an telah ditahan dan pihak polis akan memohon perintah reman.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut manakala mangsa akan menjalani pemeriksaan di hospital,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14A Akta Kesalahan Kanak-kanak.

Terdahulu, pihak polis telah menggesa ibu bapa di Kelantan agar memantau pergerakan anak-anak memandangkan jenayah rogol terutamanya melibatkan remaja bawah umur di negeri ini agak membimbangkan.

Menerusi laporan Bernama pada 5 September tahun lalu, Polis Kelantan berkata kebanyakan kes yang dikesan berlaku kerana suka sama suka.

“Tetapi apabila melibatkan situasi bawah umur ia dikategorikan sebagai kes rogol,” katanya