Elya KWSP muncul lagi, raya sakan tahun ni

Elya KWSP muncul lagi, raya sakan tahun ni

Tiada kata-kata yang dapat diluahkan apabila kerajaan akhir­nya membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas maksimum seba­nyak RM10,000.

Saat yang ditunggu dan dinanti-nantikan jutaan pencarum di negara ini akhirnya tercapai, ibarat bulan jatuh ke riba.

Sebelum ini desakan demi desakan dibuat oleh golongan yang terkesan, buktinya dapat dilihat menerusi komen-komen di laman sosial akaun KWSP.

Akhirnya perjuangan membuahkan hasil, nampaknya ramai yang tersenyum lega sekurang-kurangnya dapatlah meringankan sedikit beban kewangan yang ditanggung mereka.

Tidak dinafikan ada pihak tidak bersetuju dengan pengeluaran wang KWSP, namun siapa mereka untuk menghalang?

Kita tidak duduk dalam kasut mereka yang susah, lain orang, lain saiz kasutnya. Susah senang orang, kita tak tahu. Dalam hati mungkin menangis tanpa lagu.

Apa yang menariknya, pengu­muman ini umpama hadiah sempena menyambut Aidilfitri, nampaknya raya kali ini lebih bermakna dan bersinar-sinar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pengeluaran khas sebanyak RM10,000 dibuat bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

“Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

“Walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP, namun saya me­rayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali benar-benar mendesak,” kata Perdana Menteri.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pengeluaran ca­ruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Sementara itu, Pakar Kewa­ngan Pengguna, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, pencarum dinasihatkan agar membuat perancangan terlebih dahulu berkenaan penggunaan wang tersebut sebelum melakukan pengeluaran.

“Sebagai pencarum, kena tengok betul-betul kemudahan sama ada wujud keperluan mendesak untuk menggunakan wang tersebut atau sebaliknya.

“Saya tak nafikan ramai yang terjejas dan kehilangan pekerjaan termasuk kekurangan pendapatan serta tiada sumber lain yang boleh digunakan lagi untuk tampung keperluan harian.

“Golongan ini memang layak keluarkan duit KWSP, namun sebaik-baiknya dapatkan nasihat pakar terlebih dahulu,” katanya.

Benar apa yang dikata, gunakan wang tersebut apabila kea­daan mendesak dan jangan digunakan untuk perkara yang bukan keperluan.

Bukit kalau ditarah lama-lama pun akan jadi rata, begitu juga dengan duit lama-lama akan ke­ring dan habis.

Harus diingat, duit inilah yang akan membantu pencarum di kala sukar, jangan berjoli pula, nanti menyesal tak sudah.