“Elak risiko kemalangan..,” Isu hentikan Ambulans di persimpangan, JSPT jelaskan hal sebenar
Semalam tular sebuah video di media sosial apabila dilihat kenderaan yang dipercayai membawa VIP dan diiringi anggota polis trafik pengiring telah menyebabkan perjalanan sebuah ambulans dan pacuan empat roda milik Persatuan Bulan Sabit Merah yang kemungkinan dalam kecemasan dihentikan mengundang pelbagai reaksi netizen.
Selepas isu itu tular, Polis Diraja Malaysia melalui Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt. Aziman Shari’at berkata kejadian tersebut berlaku pada 26 Disember 2021, jam 11.30 pagi semasa rombongan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri ingin melihat sendiri kerja-kerja pembersihan dan bantuan dari pelbagai agensi terhadap mangsa banjir di Masjid Al-Mustaqqim, batu 16 Hulu Langat, Selangor.
“Semua pegawai dan anggota JSPT sentiasa diarahkan untuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti membawa pesakit dan anggota bertugas di persimpangan berkenaan telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan tersebut untuk tempoh masa yang singkat.
Ini memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan. Tindakan mengatasi trafik tersebut telah diambil oleh anggota trafik berkenaan, selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah Lalu Lintas No.9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Aziman.
Menurut beliau lagi, jika anggota trafik tersebut memberi keutamaan kepada pacuan empat roda dan ambulans milik PBSM yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama, boleh mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya.
Sebaik sahaja konvoi melepasi persimpangan tersebut pada tempoh yang singkat, anggota trafik telah mengambil langkah segera memberi keutamaan kepada ambulans dan kenderaan pacuan empat roda setelah mendapati tiada risiko kemalangan berlaku.
KENYATAAN MEDIA KETUA JABATAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK SELANGOR
Video Tular Perjalanan Ambulans Dihentikan.
Sumber: JSPT Selangor : pic.twitter.com/b1zMrZZqOB
— Polis Diraja M’sia (@PDRMsia) December 27, 2021